Redmi Mengacah Kemampuan Butang Bahu Redmi K40 Game Edition – Mirip Black Shark 4

Redmi Mengacah Kemampuan Butang Bahu Redmi K40 Game Edition – Mirip Black Shark 4

Diterbitkan pada Apr 23, 2021 oleh .

Siri Redmi K40 kini lengkap dijana dengan kesemua cip peranti mercu. Redmi K40 Pro dengan Snapdragon 888, Redmi K40 dengan Snapdragon 870 dan terkini, Redmi K40 Game Edition dengan MediaTek Dimensity 1200. Redmi K40 Game Edition ini adalah peranti Redmi pertama yang memfokuskan permua dan juga e-sukan. Ia akan bersaing dengan jenama seperti Black Shark 4 atau juga Red Magic.

Peranti ini hadir dengan butang fizikal di sisi, yang mana apabila bermain permua ia akan menjadi butang bahu. Butang ini adalah jenis mekanisme pop-naik manual mirip dengan Black Shark 4. Memandangkan Black Shark 4 ada kaitan dengan Xiaomi, tidak terkejut jika butang ini turut boleh digunakan sebagai akses pantas kepada tetapan atau aplikasi kegemaran. Di China, Redmi telah hadir dengan video acah memperlihatkan kemampuan butang fizikal ini untuk bermain permua.

Butang dilihat cukup taktil dan selesa. Hanya dengan menolak satu butang lungsur di setiap satu, butang fizikal akan pop-naik dan sedia digunakan. Secara tidak langsung akan memberikan pengalaman penggunaan yang jauh lebih baik, lebih-lebih lagi bermain permua yang padat dengan kawalan. Genshin Impact, PUBG Mobile dan banyak lagi akan menjadi lebih seronok.

Redmi sebelum ini mengacah yang rakan kerjasama permua mereka adalah Call of Duty Mobile. Jadi, pada permua ini kemungkinan besar akan ada fungsi/ciri tambahan eksklusif sebelum hadir ke permua lain.

Redmi K40 Game Edition akan dilengkapi dengan skrin FHD+, AMOLED, saiz mungkin 6.67-inci, kamera dengan lingkaran LED di pada modul, memori mungkin 8/256 GB dan juga sokongan kadar segar semula tinggi yang dipadankan dengan kadar maklum balas sentuhan yang mungkin mencapai 300Hz. Disebabkan ini adalah jenama Redmi, harga jualan pasti dalam kategori mampu milik.

Peranti ini akan dilancarkan pada 27 April di China. Pasaran global, peranti ini dikatakan akan diubah menjadi Poco dalam siri F. Sama-sama kita nantikan.


Paling Popular