Carian
Ini Cara Menyah-kunci iPhone Menggunakan Face ID Walaupun Dengan Pelitup Muka
April 27, 2021 Effi Saharudin

Kemaskini iOS 14.5 dan watchOS 7.4 diberikan pagi ini untuk iPhone dan Apple Watch. Selain tampalan sekuriti, ciri paling berguna yang diperkenalkan ialah membenarkan iPhone dinyah-kunci menggunakan Face ID walaupun pemilik menggunakan pelitup muka. Jadi bagaimanakah cara untuk menikmati ciri ini?

Pertama sekali pergi ke Settings dan pilih Face ID & Passcode. Anda akan dapat melihat tetapan baharu Unlock With Apple Watch jika anda menatal ke bawah. Apple Watch yang ditambat kepada iPhone akan dapat dilihat pada tetapan ini. Pilih Apple Watch tersebut bagi membolehkannya menjadi peranti pengesahan identiti pengguna.

Selepas ini dilakukan, untuk kali pertama Face ID digunakan untuk nyahkunci Apple Watch di tangan akan bergetar. Pilih untuk membenarkan nyah-kunci dilakukan menerusi Apple Watch. Selepas itu setiap kali Face ID pada iPhone digunakan dan mengesan pengguna memakai pelitup muka, Apple Watch akan bergetar sebelum iPhone boleh dinyah-kunci seperti biasa.

Untuk sistem berfungsi, Apple Watch perlu dipakai setiap masa. Sistem pengesahan identiti Face ID tidak akan berfungsi jika Apple Watch ditanggalkan atau tidak lagi ditambat kepada iPhone. Apabila ini berlaku iPhone akan mengimbas wajah sebelum memerlukan pengguna memasukkan kod empat angka nyah-kunci yang diperkenalkan sebelum ini.

Komen