Dengan hasrat untuk menandingi Apple, Spotify turut memperkenalkan program langganan podcast untuk membantu para penerbit kandungan menjana pendapatan. Berbeza dengan Apple yang mengenakan caj RM89.90 setahun, kemudian 30% komisen pada tahun pertama dan 15% komisen tahun kedua – Spotify adalah percuma. Spotify benar-benar ingin membantu penerbit kandungan.
Malah, sepanjang dua tahun hanya caj transaksi sahaja dikenakan dan tahun 2023 barulah 5% akan diambil dari setiap pendapatan untuk menggunakan platform yang mereka tawarkan. Platform langganan podcast ini ditawarkan melalui Anchor, membenarkan penerbit kandungan pilih episod tertentu yang hanya boleh didengari oleh pengguna berbayar sahaja. Harga langganan pula adalah $2.99, $4.99 dan $7.99, iaitu sekitar RM12.26, RM20.47 dan RM32.77.
Dengan pelan sebegini, semua penerbit kandungan boleh menjana pendapatan dan juga mengembangkan lagi para pengikut mereka. Melalui Spotify, semua podcast ini boleh dicari dengan mudah dan untuk membezakan podcast percuma dan yang berbayar – akan ada ikon kunci pada setiap episod podcast premium.
Buat masa ini, Spotify hanya memilih 12 penerbit kandungan sahaja dan akan terhad di Amerika Syarikat. Hanya di masa akan datang barulah platform ini dikembangkan ke penerbit kandungan lain dan negara lain.
Antara penerbit yang termasuk dalam pelan langganan ini adalah NPR, yang mana semua episod khusus untuk pelanggan berbayar tidak akan ada iklan atau mesej dari penaja. Lima rancangan akan disiarkan pada 4 Mei.
Apa kata anda? Jika anda sudah bayar Spotify Premium adakah anda akan bayar podcast pula?