China Berjaya Melancarkan Modul Pertama Untuk Stesen Angkasa Lepas

Diterbitkan pada Apr 30, 2021. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

China ialah antara kuasa besar angkasa lepas dengan meminjam teknologi dari Rusia. Sungguhpun begitu mereka dilarang dari melakukan misi bersama dengan konsortium Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) oleh Amerika Syarikat sejak 2011 kerana risiko teknologi dicuri. Maka tidak mengejutkan mereka turut tidak dijemput untuk menyertai Misi Artemis.

Walaupun dipulaukan agensi lain, China masih meneruskan pelbagai misi untuk menguasai angkasa lepas secara kendiri. Semalam Agensi Angkasa Kebangsaan China (CNSA) berjaya melancarkan modul pertama untuk stesen angkasa terkini mereka Tianhe (Keharmonian Syurga). Tianhe ialah modul pertama untuk stesen angkasa ketiga Tiangong yang dibina oleh China bagi menjalankan eksperimen yang tidak mampu mereka lakukan kerana dihalang dari ISS. Modul pertama dilancarkan menggunakan roket Long March 5B dari Pusat Pelancaran Angkasa Wenchang yang terletak di provinsi Hainan.

Stesen Angkasa China dengan modul Tianhe, Wentian dan Mengtian

Modul Tianhe sepanjang 16.6 meter, selebar 4.2 meter dan seberat 22.5 tan ini akan menjadi teras utama stesen angkasa yang berbentuk huruf T apabila siap kelak. Dua lagi modul Wentian dan Mengtian akan ditambah dengan CNSA menyasarkan pembinaan akan siap sepenuhnya menjelang 2022. Walaupun belum siap sepenuhnya CNSA telahpun merancang menghantar tiga angkasawan ke Tianhe pada bulan Jun. Apabila siap kelak ia hanya sebesar 20% ISS dengan ruang untuk tiga angkasawan sahaja pada satu-satu masa.

Modul Tianhe – Xianhuanet

Tianhe ialah kemuncak teknologi stesen angkasa China yang hanya dimulakan pada tahun 1992. Stesen angkasa Tiangong-1 dan Tiangong-2 berjaya memberikan data yang mencukupi untuk China membina stesen angkasa Tiangong yang lebih besar. Tiangong-1 mendapat perhatian dunia pada tahun 2017 apabila proses nyah-orbitnya tidak berlaku mengikut perancangan sehingga Agensi Angkasa Negara (ANGKASA) mengeluarkan kenyataan bahawa puing yang dihasilkan tidak akan jatuh ke ruang udara Malaysia. Tiangong-2 juga telah dinyah-orbit ke kawasan lautan Pasifik pada tahun 2019 tanpa sebarang insiden.

Komen sekarang

komen

© Amanz / 2021 Kami