Carian
Apple Watch Mungkin Boleh Membaca Tahap Gula Dalam Darah Pada Tahun 2022
May 3, 2021 Effi Saharudin

Antara masalah harian penghidap penyakit kencing manis ialah keperluan mengambil sampel darah dua kali sehari untuk membaca tahap gula (glukosa). Ia menyakitkan dan melecehkan. Pelbagai sistem telah cuba dibangunkan bagi membolehkan bacaan gula dibaca tanpa perlu mengambil sampel darah secara terus. Pada tahun 2022, ia mungkin boleh dilakukan terus dari sebuah Apple Watch.

Syarikat Rockley Photonics telah mendedahkan dalam dokumen yang difailkan kepada Suruhanjaya Sekuriti Amerika Syarikat (SEC) bahawa Apple adalah pelanggan utama mereka. Ini adalah dokumen yang penting kerana Rockley menghasilkan sensor infra merah yang boleh membaca tahap gula dan alkohol dalam darah. Mereka telah bekerjasama dengan Apple sejak dua tahun lalu dengan ketua pegawai eksekutifnya Andrew Rickman mendedahkan produk pertama akan dipasarkan pada tahun 2022. Malahan paten pembaca tahap gula dalam darah menggunakan sensor infra merah telahpun dipatenkan oleh Apple tiga tahun lalu.

Paten sensor membaca tahap gula dalam darah

Ini adalah petanda paling jelas setakat ini bahawa Apple Watch 2022 akan dilengkapi sensor membaca kandungan gula dan alkohol dalam darah. Ia akan mengurangkan kos membeli pembaca gula oleh penghidap kencing manis dan memudahkan bacaan dibaca secara masa nyata tanpa perlu jari dicucuk terlebih dahulu.

Sekiranya benar ia digunakan pada Apple Watch 2022 sekalipun pengguna di Malaysia mungkin perlu menunggu ia mendapat kebenaran KKM. Walaupun sudah dua tahun sensor ECG digunakan pada Apple Watch, ciri ini masih belum boleh digunakan di Malaysia.

Komen