Carian
Twitter Mengambil-Alih Scroll Bagi Menjayakan Lagi Pelan Langganan Berbayar Mereka
May 5, 2021 Fahim Zahar

Twitter bakal hadir dengan pelan langganan berbayar tidak lama lagi. Tetapi mereka masih merahsiakan apakah kelebihan langganan ini dan apakah ciri atau fungsi yang akan menjadi terhad kepada pengguna berbayar sahaja. Baru-baru ini mereka telah menguji Ticketing Spaces, di mana pengguna Twitter terpilih boleh mengenakan bayaran untuk sesi bual audio di Twitter Spaces.

Terkini, pelan langganan berbayar Twitter ini sedikit lebih jelas selepas mereka mengambil-alih syarikat Scroll. Bagi yang tidak tahu, Scroll adalah syarikat yang menawarkan ciri seakan menghalang iklan. Di mana laman web seperti Vox, Rolling Stone, BuzzFeed dan banyak lagi boleh menawarkan kandungan seperti artikel yang bebas iklan. Walaupun bebas iklan, sebahagian pendapatan yang diperoleh daripada langganan Scroll turut akan diberikan kepada penerbit kandungan.

Secara tidak langsung pengguna boleh menyokong penerbit kandungan kegemaran dan membantu mereka menjana pendapatan kerana telah menyediakan kandungan untuk pengguna. Ia adalah seperti pemalam yang diperkenalkan oleh Firefox sebelum ini.

Disebabkan pengambilalihan syarikat ini, Scroll tidak lagi akan menerima pendaftaran baharu. Sebaliknya, hanya menawarkan penerbit kandungan yang berminat untuk mengintegrasikan sistem mereka sahaja boleh langgan.

Apa yang boleh saya jangkakan adalah, ciapan yang diciap oleh penerbit kandungan kelak mungkin hanya boleh dibaca dengan penuh bagi pengguna berbayar atau pengguna percuma akan melihat iklan. Tidak pasti bagaimana ia akan diintegrasikan. Mungkin bebenang Twitter kini perlu dibayar jika seseorang ingin membaca. Sama-sama kita nantikan.

Komen