Cari @ Amanz

Xiaomi Mi TV Q1 adalah televisyen pintar Xiaomi yang terkini. Ia dilancarkan di Malaysia pada Februari lalu bersama-sama dengan Mi 11, tetapi terhad di pasaran Eropah. Seperti biasa, televisyen pintar Xiaomi menjalankan sistem operasi Android TV. Untuk model Mi TV Q1, ia menggunakan panel QLED dengan saiz 75-inci dan turut menyokong kadar segar semula 120 Hz.

Televisyen ini sudah memasuki SIRIM, di mana menjadi televisyen Xiaomi pertama memasuki pasaran tempatan. Terkini, Xiaomi Malaysia telah mengesahkan yang televisyen ini akan dilancarkan di Malaysia pada 20 Mei 2021. Bersama-sama dengan televisyen ini, model Mi TV P1 55″ turut akan dilancarkan sekali. Mi TV P1 adalah model terbaru yang dilancarkan di Itali semalam dan menggunakan panel LED sahaja.

Untuk Mi TV Q1 75″, resolusi adalah 4K, dan Android TV adalah versi Android 10 dengan antaramuka seakan Google TV. Televisyen ini dijana dengan cip MediaTek MT9611, menyokong paparan HDR, Dolby Vision, dan juga HDR10+. Sistem audio adalah pembesar suara 30W, Dolby Audio dan DTS-HD. Port sambungan pula adalah 1x HDMI 2.1 + 2x HDMI 2.0 + LAN + AV + output optikal + dekoder DTTV dan USB. Harga pasaran di Malaysia masih belum didedahkan, di Eropah harga adalah sekitar RM6300.

Mi TV P1

Manakala model P1 dijual pada harga sekitar RM3300. Sama-sama kita nantikan pelancaran di Malaysia, untuk lihat harga rasmi dan adakah ia berbaloi atau pun tidak.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd