Cari @ Amanz

Ketika era pandemik, jualan tablet Android mencanak naik namun masih belum mampu menandingi dominasi iPad. Antara sebab ini berlaku adalah kerana penawaran aplikasi yang khusus untuk tablet masih rendah dan Google sendiri tidak memberikan tumpuan untuk memberikan pengalaman unik pada tablet.

Hari ini mereka cuba melakukan sesuatu bagi melawan persepsi tablet Android ialah anak tiri yang dilupakan. Entertainment Space diumumkan khusus untuk tablet Android. Menerusi ciri ini pelbagai kandungan menarik yang relevan kepada pemilik dapat dipaparkan setempat. Sebagai contoh terdapat baris menyarankan filem dan siri TV yang boleh ditonton dari aplikasi yang terpasang pada tablet seperti YouTube dan Netflix. Terdapat juga baris untuk pengguna menyambung kandungan yang belum habis ditonton.

Saranan permua berdasarkan tabiat pengguna juga disertakan pada hab ini bersama dengan aplikasi yang kerap dimainkan. Kandungan lain seperti ebuku, strim dari Twitch dan banyak lagi turut akan dipaparkan dalam Entertainment Space. Dengan kata lain ciri ini amat mirip dengan muka hadapan yang dinikmati oleh pengguna Google TV yang baru dikemaskini.

Entertainment Space akan diberikan pada tablet Walmart onn pada bulan ini terlebih dahulu sebelum ke tablet keluaran pengeluar lain seperti Lenovo menjelang penghujung 2021.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd