Ulasan Xiaomi Mi 11 Ultra – Ultra Segalanya

Diterbitkan pada Mei 7, 2021. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Tahun ini adalah tahun Xiaomi. Ini kerana Xiaomi buka melancarkan satu sahaja peranti mercu, sebaliknya ada banyak sehingga sukar untuk ingat nama setiap satu. Sudah semestinya peranti mereka yang paling unik adalah Mi MIX Fold, tetapi skrin plastik dan tidak dijual di sini. Dalam artikel ini saya ingin kongsi pengalaman menggunakan Mi 11 Ultra selama hampir satu bulan.

Mi 11 Ultra adalah peranti Mi yang paling ultra. Ini kerana, peranti boleh dikatakan serba lengkap dengan pelbagai ciri dan fungsi sesebuah peranti mercu yang menjadikan peranti ini sebuah peranti yang ikonik. Daripada IP68, skrin melengkung, cip Snapdragon 888, kamera dengan sensor gila besar dan juga kurang gimik. Hanya ada satu sahaja gimik, iaitu skrin sekunder. Ini juga adalah peranti Xiaomi pertama yang dijual di Malaysia mencapai lebih RM4000. Adakah ini peranti mercu paling sempurna? Benarkah ia ultra? Ini adalah artikel ulasan.


Spesifikasi Dan Rekaan

Xiaomi Mi 11
Skrin6.81″ AMOLED, Corning Gorrila Glass Victus
WQHD+, 120Hz, HDR10+, 10-bit
1.1″ AMOLED Mi Band 5
PemprosesSnapdragon 888 (5nm)
Cip1 X 2.84 GHz Kryo 680 Prime
3 X 2.42 GHz Kryo 680 Gold
4 X 1.8 GHz Kryo 680 Silver
Cip GrafikAdreno 660
RAM12GB LPDDR5
Muatan Dalaman256 GB UFS 3.1
Kamera Utama50+48+48 Megapixel f/1.95+f/4.1+f/2.2
ISOCELL GN2, Telefoto periskop
Night mode 2.0, HDR10+, 8K30FPS OIS, Mod filem
Kamera Swafoto20 Megapixel f/2.2
Selfie Night mode, HDR
Bateri5000mAh
Pengecasan berwayar 67W
Pengecasan nirwayar 67W
Pengecasan nirwayar berbalik 10W
SIM/TelefoniDwi SIM nano / 5G
NFCYa
Bicu AudioTiada
Kalis AirIP68
Sistem ImbasanPengimbas jari bawah skrin dengan pengimbas nadi
Harga JualanRM4299

Kalau kita lihat jadual di atas, Mi 11 Ultra sudah cukup hebat spesifikasinya. Skrin AMOLED yang berkualiti tinggi, 120Hz, adaptif, resolusi WQHD+, HDR10+, kemudian ia sedikit melengkung dan dijana dengan Snapdragon 888. Memori pula cukup tinggi iaitu 12GB RAM yang digabungkan dengan storan dalaman 256GB UFS 3.1. Kamera pula tiada sensor gimik, sebaliknya semua yang anda boleh terus manfaatkan seperti sensor utama 50MP ISOCELL GN2 – yang mana antara yang terawal. Digabungkan pula dengan dua lagi sensor 48MP, satu untuk zum dan satu lagi untuk sudut ultra lebar.

Peranti ini juga bersaiz besar dan dikategorikan sebagai telefon gergasi. Agak berat dan tidak seimbang. Dilindungi dengan IP68, kaca Victus, ada pengimbas cap jari bawah skrin, pembesar suara stereo dan pelbagai lagi yang memenuhi citarasa semua orang.

Rekaan juga agak unik dan berbeza dengan peranti Mi 11 yang lain. Saya mulakan dengan panel belakang, yang mana kalau tidak perasan itu adalah satu pembohongan. Modul kamera besar dengan bonggol yang gergasi dan mudah calar jika tidak dijaga dengan baik. Bayangkan di dalam kocek, peranti ini mudah tersangkut. Kemudian kalau tidak dilindungi dengan selongsong, anda boleh ucap selamat tinggal wang anda – pasti harga baiki mahal.

Modul kamera sudah hampir separuh panel belakang. Unit saya ini berwarna putih, syukur ia tidak begitu mudah menangkap kotoran cap jari dan tidak begitu licin. Ia juga sedikit melengkung untuk cengkaman tambahan. Turut disertakan pada modul kamera adalah skrin 1.1-inci AMOLED yang sama digunakan pada Mi Band 5. Skrin adalah jenis sesentuh, tetapi resolusi yang tidak begitu baik serta kawalan sentuhan yang terhad.

Pada hadapan, skrin melengkung yang kini apabila saya gunakan tidak terasa janggal. Skrin adalah jenis berlubang untuk kamera swafoto. Di atas ada kekisi pembesar suara, sensor infra merah, di bawah pula ada satu lagi kekisi pembesar suara, port USB-C dan slot kad SIM. Di sisi terdapat butang aras suara dan juga butang kuasa. Walaupun peranti ini kelihatan besar, di tangan ia mudah untuk dikendalikan. Saya tidak rasakan ia begitu besar pada tangan saya dan boleh sahaja saya gunakan untuk beberapa minggu.

Masalah bermula pada berat peranti. Disebabkan ia begitu berat, melebihi 200 gram. Menggunakan peranti ini beberapa minit seperti di Twitter sudah lenguh. Disebabkan ia tidak seimbang, jika salah cara pegang peranti ini boleh terus jatuh dan mencium lantai untuk anda menangis kerana kerugian ribuan ringgit.

Pengalaman Penggunaan

Menggunakan peranti ini akan memberikan satu pengalaman baru yang tiada pada peranti lain. Saya mulakan dengan skrin. Ia sangat cantik, terlampau cantik dan juga cukup cerah. Tidak kiralah di luar atau di dalam, skrin peranti ini tiada masalah untuk memaparkan apa jua kandungan dan tidak akan mengganggu pengalaman penggunaan. Menonton video di Netflix, YouTube, Disney+ semuanya hebat belaka kerana resolusi mencapai WQHD+.

Skrin peranti ini cukup memuaskan. Lebih menarik, palm rejection peranti ini juga baik belaka. Tiada masalah tersentuh sana-sini dan boleh dikendalikan seperti peranti biasa. Tidak lupa juga pada sokongan 120Hz yang menjadikan peranti ini lebih lancar daripada biasa. Setiap tatalan akan rasa pantas dan boleh saya katakan 95% penggunaan tiada isu lengah masa.

Skrin di belakang pula adalah untuk lihat status pengecasan, notifikasi dan juga menetapkan AOD. Penggunaan utama skrin belakang ini adalah untuk kamera, di mana boleh swafoto menggunakan sensor utama. Jadi tiada lagi masalah swafoto yang lembut, sebaliknya akan sentiasa berkualiti tinggi.

Seterusnya saya ingin sentuh pada prestasi. Peranti ini bukan sahaja pantas kerana 120Hz, tetapi 12GB RAM amat membantu MIUI beroperasi dengan baik. Melakukan multi-tugasan, menggunakan Nearby Share, Mi Share, membuka banyak aplikasi, tatal ke sana dan ke sini, tiada masalah langsung. Malah ini adalah antara peranti Xiaomi paling berkuasa pernah saya gunakan.

Biasanya maklum balas saya terhadap MIUI, seperti pada Mi 11 adalah sedikit negatif – tetapi pengoptimasian pada peranti amat berbeza dan memberikan pengalaman yang memuaskan. Isu utama saya hanyalah ketika bermain permua sahaja. Disebabkan kebanyakan permua saya perlu dimainkan dalam keadaan melintang, peranti ini tidak sesuai sama sekali untuk bermain permua. Bonggol kamera mengganggu sesi permainan saya dan membuatkan saya kurang bermain permua pada peranti ini. Pada Mi 11, saya lenjan Asphalt 9, PUBG Mobile tanpa henti. Tetapi dalam hampir sebulan bermain menggunakan peranti ini – kurang lima kali saya main permua.

Peranti ini tiada isu memanas apabila bermain permua atau tugasan harian. Tetapi ia hanya minggu terakhir saya menggunakan peranti ini, ia mula menjadi aneh. Ia memanas secara tiba-tiba walaupun hanya berada di meja. Lebih mengecewakan, saat saya berpindah ke peranti lain seperti melakukan sandaran dan pindahkan fail ringan – ia memanas dengan sangat teruk sehingga sukar untuk saya pegang.

Mungkin ini adalah masalah MIUI 12 yang saya katakan, memberikan prestasi yang tidak konsisten. Mi 11 saya dengan MIUI 12.5 tiada isu ini.

Tambahan pada pengalaman tatalan atau sentuhan adalah enjin getaran yang baik sekali. benar, Samsung lebih selesa, Pixel lebih enak – tetapi masing-masing ada cara tersendiri. Apa yang penting semua peranti Android masih tidak dapat menandingi haptik pada iPhone. Mi 11 Ultra cukup baik dan memberikan pengalaman imersif.

Penanda Aras

Untuk penanda aras, peranti Xiaomi Mi 11 Ultra boleh mencapai gila tinggi. Malah ia menandingi Asus ROG Phone 5. Disebabkan peranti ini menggunakan memori 12GB RAM, ia tiada masalah dalam mengendali multi-tugasan, membuka banyak aplikasi dan juga bertukar-tukar antara permua pergi ke aplikasi lain. Don’t Kill My App mencatatkan skor 100%.

Untuk AnTuTu pula, ia boleh mencapai skor 794,756 – yang mana sudha menghampiri 800K. Ini adalah skot yang agak mengejutkan. Mi 11 set import yang kami uji dengan memori sama pun hanya sekitar 750K sahaja. Pada Geekbench 5.0 pula, skor untuk satu teras dan multi-teras boleh dikatakan standard untuk Snapdragon 888 iaitu 1K/3K – yang mana pada peranti ini ia memperoleh 1122/3536.

Dengan pengalaman penggunaan saya sendiri, prestasi Mi 11 Ultra adalah antara yang terbaik setakat ini dalam banyak-banyak peranti Android yang pernah saya uji.

Perisian

Seperti mana-mana ulasan peranti Xiaomi, Poco atau Redmi saya, MIUI 12 masih tidak stabil dan tidak cukup matang untuk penggunaan harian. Ia tidak konsisten. Tetapi peranti ini sedikit berbeza, kerana ia masih memberikan pengalaman yang baik. Seperti banyak elemen Android asli Android 11 disertakan, sokongan back tap, dan lain-lain lagi. Anda bayangkan Mi 11, tetapi 12GB RAM dan mempunyai pengoptimasian yang sedikit lebih baik.

Disebankan 99% pendapat MIUI saya masih sama, anda boleh rujuk ulasan Mi 11 saya di puatan bawah perenggan ini

Apa yang akan saya sentuh pada Mi 11 Ultra adalah, penggunaan fungsi menarik yang disembunyikan. Peranti ini ada skrin sekunder, tetapi tetapan skrin tidak berada dalam tetapan paparan – sebaliknya berada di tetapan tambahan yang agak tersorok. Perkara ini agak menjengkelkan, kerana sukar untuk saya akses tetapan ini.

This image has an empty alt attribute; its file name is Ulasan-Mi-11-Ultra-13-950x350.jpg

Skrin belakang membenarkan saya ubah rekaan atau corak atau tema Always-On Display. Apabila saya ingin tukar, saya perlu ke tetapan yang jauh tersorok ini. Syukur, dalam tetapan ini ada memaparkan perubahan kustomasi yang dilakukan.

This image has an empty alt attribute; its file name is Ulasan-Mi-11-Ultra-14-2.jpg

Notifikasi juga masih sama. Tidak dinafikan yang Xiaomi cuba sedaya upaya membaiki paparan notifikasi. Kini ada banyak mod dan jenis untuk pengguna berinteraksi dengan talam notifikasi. Tetapi sayang sekali, cara MIUI memaparkan notifikasi masih sedikit bermasalah dan ada banyak pepijat. Ia kadangkala memaparkan notifikasi dengan teks yang melapisi teks lain atau mesej WhatsApp dari nama orang lain tetapi yang dipaparkan adalah mesej dari orang lain. Apa yang pelik adalah, MIUI global sahaja ada masalah ini. MIUI di China dilihat mempunyai paparan notifikasi yang baik sekali.

Telefoni Dan GPS

Peranti gergasi ini juga mempunyai kualiti panggilan suara yang cukup baik dan jelas. Mikrofon disertakan adalah berkualiti dan tiada masalah langsung untuk sesi panggilanm telefon dilakukan. Tetapi dengan saiz besar, durasi panggilan telefon yang saya selesa adalah 10 minit maksimum – kerana selepas itu sudah penat untuk dipegang. Jika di rumah, 99% panggilan telefon saya adalah menggunakan pembesar suara.

This image has an empty alt attribute; its file name is Ulasan-Mi-11-Ultra-08-950x535.jpg

Macam biasa, peranti 5G akan memberi akses Internet yang lebih stabil. Di rumah saya, 4G sedikit sukar untuk capai pada kelajuan yang baik. walaupun kadangkala saya menerima 4G+ dengan bar yang penuh. Tetapi peranti ini tiada isu tersebut dan membolehkan saya menggunakan Internet tanpa sebarang masalah.

GPS juga tiada isu, cuma apabila pasang pada cagak di dalam kereta – peranti ini terus jatuh dan cagak saya terus longgar. Ia terlalu berat untuk dipasang. GPS cukup pantas mengunci lokasi dan memberikan arahan selok-belok.

Kamera

Sensor kamera utama pada peranti ini adalah 50MP yang bersaiz 1 /1.12”. Ia adalah daripada Samung ISOCELL GN2 dan merupakan antara peranti terawal yang menggunakannya. Sensor ini turut mempunyai sokongan OIS dan bukaan lensa f/1.95. Sensor kedua adalah 48MP untuk sudut ultra-lebar, dengan pandangan 128 darjah dan juga bukaan lensa f/2.2. Akhir sekali adalah sebuah lagi sensor 48MP, tetapi jenis periskop telefoto. Ia menyokong zum digital 120x, hibrid 10x dan optikal 5x. Turut menyokong OIS dengan bukaan lensa f/4.1.

This image has an empty alt attribute; its file name is Ulasan-Mi-11-Ultra-18-950x422.jpg

Mod fotografi menyokong RAW, kawalan manual Pro, mod malam Night Mode 2.0, dan juga Ultra Night. Manakala untuk video pula, ia menyokong sehingga 8K 24fps, rakaman HDR 10, 4K 60fps, HDR10+ pada resolusi 1080p, rakama gerak perlahan mencapai 1920fps dan banyak lagi.

Kamera swafoto pula adalah 20MP yang sama pada Mi 11, jadi ia turut menyokong mod malam, potret, HDR dan rakaman sehingga 1080p.

Kualiti

Sebelum saya sampaikan apa yang hebat berkenaan kamera peranti ini, iaitu pada kamera utama – saya akan ulas bahagian kamera swafoto. Ia masih sama dengan Mi 11, 20MP dan terlampau lembut. Ia melalui pasca-proses yang berlebihan, menjadikan wajah saya hampir bebas jerawat dan kelihatan tidak natural. Warna juga tidak begitu menarik, tidak konsisten. Masalah warna ini sama juga pada mod potret.

Mod malam pada swafoto pula tidak menjadi, wajah terus menjadi kekelabuan dan butiran tidak dipelihara dengan baik. Kamera swafoto Mi 11 Ultra akan saya katakan antara yang gagal memikat hati saya.

Baiklah, saya akan teruskan pada gambar swafoto – tetapi menggunakan kamera belakang pula. Hasilnya sangat baik. Malah lebih baik jika benar-benar SOOC tanpa mod AI dan mod HDR diaktifkan. Kualitinya jelas sekali hebat. Menggunakan skrin sekunder sebagai pemidang tilik benar-benar membantu. Tetapi kadangkala sedikit sudah untuk fokus.

Untuk penggunaan kamera belakang, saya mulakan dengan sensor utama 50MP. Anda perlu ingat, mod auto SOOC tidak akan terus ambil 50MP, sebaliknya menggunakan teknik pixel binning untuk jimat storan dan pelihara butiran. Apa yang menarik adalah, jika mengambil gambar objek pada jarak dekat – ia seakan menggunakan mod potret. hasil bokeh semula jadi, kemas dan cukup cantik. Ia tiada masalah fokus, warna juga cukup cantik.

Menjadikan penggunaan lebih memuaskan adalah apabila fokus cukup pantas menjadikan hasil imej tiada masalah kabur. Bantuan pada OIS pula menjadikan imej tiada masalah gegar. Pasca-proses juga cukup pantas dan tidak mengambil masa yang lama.

Kemudian tidak kira apa jua keadaan cahaya, dengan mod AI – ia boleh menilai degan baik situasi dan setiap hasil gambar akan kekal berkualiti. Jika gelap, hingar kurang dan kelihatan baik serta memuaskan.

Mod 48MP sudut ultra lebar turut membantu mengambil gambar yang baik. Kesan herotan pada hemat saya, tidak begitu teruk dan diperbaiki pada pasca proses dengan cukup baik. Tetapi mengikut keadaan dan cara mengambil gambar, kadang-kala sudut ultra lebar terlampau lebar.

Mod zum pula antara yang terbaik. Ia mempunyai pemidang tilik seakan Samsung Space Zoom, di mana zum digital 120x membenarkan pengguna lihat sebagai panduan. Hasil juga memberangsangkan, jika ada cahaya yang baik dan tangan tidak begitu bergegar.

Mod malam dan mod potret antara kegemaran saya. Ia mampu memberikan satu perasaan yang sangat memuaskan. Hasil juga tidak begitu mengecewakan. Cuma, seperti saya katakan tadi – tutup AI dan HDR. Jika tidak hasil tidak akan konsisten.

Di atas adalah galeri untuk beberapa mod lain, saya gabungkan kesemuanya. Anda lihat dan nilai sendiri. Di mata saya, hasilnya cukup memberangsangkan. Benar, ada yang tidak boleh lawan Samsung, ada juga yang tidak boleh lawan iPhone – mengikut situasi. Tetapi untuk sebuah jenama Xiaomi, ini adalah satu langkah ke hadapan untuk mempunyai kamera berkualiti tinggi.

Di atas ini pula adalah perbandingan antara Mi 11 Ultra dan Samsung Galaxy Z Fold2. Lokasi sama, sudut lebih kurang sama, masa yang sama. Di kanan adalah Xiaomi dan kiri adalah Samsung. Apa pendapat anda?

Video pada Mi 11 Ultra adalah antara yang terbaik. Tetapi disebabkan peranti ini mudah panas apabila menggunakan mod-mod menarik dan unik, agak sukar untuk merakam video dalam keadaan yang baik. Sampel di bawah ini adalah 30 saat, sebaik sahaja rakaman bermula peranti mula memanas dan memberi amaran untuk berhenti menggunakan kamera.

Tahap memanas agak teruk, sehinggakan data, GPS, dan banyak lagi terus dimatikan – kononnya untuk keselamatan peranti.

Audio

Xiaomi buat pertama kalinya bekerjasama dengan syarikat audio premium milik Samsung, iaitu Harmon/Kardon. Biasa sistem ini dilihat hadir pada aksesori audio Samsung seperti AKG dan Harmon/Kardon. Peranti Samsung sendiri masih menggunakan Dolby Atmos. Untuk itu, Mi 11 Ultra membawakan sistem pembesar suara stereo yang cukup hebat, kuat, lantang dan seimbang. Aneh bukan? Xiaomi menggunakan sistem daripada pesaing dan Samsung sendiri tidak menggunakan sistem tersendiri.

Xiaomi menggunakan tetapan satu pembesar suara di atas peranti dan satu di bawah, berbeza dengan pesaing yang meletakkan pada bezel atas atau di belakang skrin. Pada tetapan paling tinggi pun audio yang dihasilkan masih cukup jelas dan banyak butiran boleh didengarkan. Sistem Harmon/Kardon disertakan pada Mi 11 Ultra boleh diubahsuai oleh pengguna dari tetapan auto, khusus untuk muzik atau video.

Prestasi audio Mi 11 Ultra kini setanding dengan peranti mercu mahal seperti Samsung dan Apple. Jika ada aksesori audio yang baik seperti TWS premium Xiaomi tersendiri, pasti ia mempunyai padanan terbaik kerana ekosistem. Aksesori audio tambahan akan membantu untuk memudahkan pengguna kerana tiadanya port bicu audio 3.5mm.

Bateri

Jika pada Mi 11 saya boleh terima 7 jam SOT dengan skrin WQHD+ dan 120Hz, Mi 11 Ultra tidak boleh. Ini adalah antara isu MIUI. Mi 11 bateri lebih kecil, peranti ini pula 5000mAh. Saya tidak rasa skrin kecil yang hanya aktif selama 30 saat faktor kepada bateri lemah. Mungkin kerana kuasa pemprosesan yang tinggi, penggunaan memori tinggi untuk menjadikan peranti ini lebih lancar faktor bateri lemah.

Mi 11 Ultra hanya boleh capai sekitar 5 jam maksimum untuk penggunaan yang sama pada Mi 11. Majoriti SOT saya adalah 4 jam 30 minit sehingga 4 jam 50 minit sahaja. Itu adalah untuk penggunaan yang ringan. Tetapi apabila menggunakan kamera, banyak strim video, main permua, muat turun, SOT hanyalah sekitar 3-4 jam sahaja.

Walaupun begitu, syukur pengecas pantas disediakan di dalam kotak. Mi 11 Ultra menyokong 67W, yang mana kurang 50 minit sudah boleh cas 0% sehingga 100%. Apa yang saya tidak boleh uji adalah, sokongan pengecasan nirwayar 67W – kerana perlu menggunakan pengecas nirwayar 80W Xiaomi yang tersendiri. Pengecas ini pula terhad dijual di China dan harga pula mencapai lebih RM400.

Untuk mereka yang ada TWS yang menyokong pengecasan Qi, peranti ini juga menyokong pengecasan nirwayar berbalik sehingga 10W. Jadi adalah tambah tolak di sini.

Pesaing

Oppo Find X3 ProSamsung Galaxy S21 UltraXiaomi Mi 11 Ultra
Skrin6.7″ AMOLED, 1440 x 3216, HDR10+, 120Hz (525 ppi)6.8″ Dynamic AMOLED 2X, 1440 x 3200, HDR10+, 120Hz (515 ppi)6.81″ AMOLED, 1440 x 3200, HDR10+, 120Hz (515 ppi)
Cip PemprosesanSnapdragon 888
1 X 2.84 GHz Kryo 680 Prime
3 X 2.42 GHz Kryo 680 Gold
4 X 1.8 GHz Kryo 680 Silver
Exynos 2100 (5nm)
1 X 2.9 GHz Cortex X1
3 X 2.8 GHz Cortex A78
4 X 2.02GHz Cortex A55
Snapdragon 888
1 X 2.84 GHz Kryo 680 Prime
3 X 2.42 GHz Kryo 680 Gold
4 X 1.8 GHz Kryo 680 Silver
GPUMali-G78 MP14Mali-G78 MP14Adreno 660
RAM12 GB LPDRR512/16 GB LPDRR512GB LPDDR5
Storan256 GB UFS 3.1128/256/512 GB UFS 3.1256 GB UFS 3.1
Kamera BelakangKamera Utama
50+50+13+3 Megapixel f/1.8+f/2.2+f/2.4+f/3.0, OIS
Kamera Utama
108+12+10+10 Megapixel (f/1.8+f/2.2+f/2.4+f/4.9), OIS
Kamera Utama
50+48+48 Megapixel (f/2.0+f/4.1+f/2.2), OIS
Kamera SwafotoKamera Hadapan
30-Megapixel f/2.2
Kamera Hadapan
40-Megapixel f/2.2
Kamera Hadapan
20-Megapixel
IPIP68IP68IP68
Port Bicu Audio 3.5mmTiada bicu audio 3.5mmTiada bicu audio 3.5mmTiada bicu audio 3.5mm
Pembesar SuaraAudio Stereo Dolby AtmosAudio Stereo Dolby AtmosAudio Stereo Harman/Kardon
Bateri4500mAh (Berwayar 65W, Nirwayar 30W)5000mAh (Berwayar 25W, Nirwayar 15W)5000 mAh (Berwayar 67W, Nirwayar 67W)
HargaRM4299Harga bermula RM4999RM4299

Kesimpulan

Sejak awal tahun sehingga hari ini, banyak peranti Xiaomi telah saya uji begitu juga dengan peranti mercu lain. Mi 11 Ultra adalah antara yang memikat hati saya dan buatkan saya kembali jatuh cinta kepada jenama Xiaomi. Jika tolak ketepi isu MIUI yang akan dibaiki dalam MIUI 12.5, yang masih tidak diedarkan kepada pengguna global – Mi 11 Ultra berani saya katakan adalah peranti mercu serba lengkap dan hampir sempurna. Ia benar-benar Ultra!

Daripada skrin yang cantik, prestasi yang baik, kamera yang sangat memuaskan, tiada peranti lain yang saya temui mampu menawarkan pengalaman seperti ini. Apa yang saya harapkan adalah, Xiaomi kelak boleh bawakan sebuah peranti mercu sehebat peranti ini pada model lain atau yang akan datang – tetapi dengan pelbagai isu telah dibaiki. Contohnya rekaan kembali nipis, tiada bonggol tebal dan tiada isu memanas serta masalah bateri.

Jika anda tanya saya, apakah peranti terbaik yang patut dibeli dengan bajet RM4000 – Mi 11 Ultra adalah saranan saya. Tetapi sayang sekali, peranti ini sudah habis dijual di Malaysia dan masih tidak pasti bila ia akan kembali ada stok. Antara sebab kenapa ia laris adalah, masalah kekurangan cip yang berlaku. Kemudian, Xiaomi juga harus membahagikan sama rata cip yang ada kepada model-model lain. Kelak Mi 11i juga akan memasuki pasaran Malaysia, ia boleh dikatakan adalah Mi 11 versi murah – mungkin jika bajet sekitar RM2500 anda boleh lihat peranti ini.

Apa-apa pun, tahniah Xiaomi kerana akhirnya boleh menawarkan sebuah peranti mercu sehebat pesaing yang premium dan serba lengkap.


Pro

  • Skrin yang sangat cantik dan menakjubkan, serta 120Hz adaptif yang sangat lancar
  • Kemampuan kamera yang menjanjikan pengalaman penggunaan memuaskan
  • Prestasi yang sangat lancar dan tiada masalah lengah masa
  • Sokongan pengecasan yang cukup pantas
  • Tiada isu MIUI seteruk Mi 11
  • Pembesar suara yang cukup sedap, lantang dan enak.

Kontra

  • Masih lagi MIUI 12 dengan banyak iklan dan aplikasi gendut
  • MIUI 12 masih ada masalah notifikasi
  • Skrin sekunder yang gimik semata-mata
  • Ketahanan bateri tidak cukup baik
  • Kamera mudah panas
  • Tidak boleh dibeli

Komen sekarang

komen

© Amanz / 2021 Kami