Cari @ Amanz

WhatsApp pada awal tahun ini telah mula memperkenalkan polisi baharu yang memfokuskan kepada perkongsian data bersama Facebook – tetapi menerima reaksi negatif pengguna seluruh dunia, sekaligus menangguhkan pengenalannya.

Ketika menangguhkannya bulan Februari lepas, WhatsApp mengatakan pengguna perlu menerima polisi baharu ini pada 15 Mei 2021 kelak, atau pengguna akan dihadkan penggunaan seperti tidak boleh membalas mesej melalui WhatsApp.

Apa pun, hari ini pihak WhatsApp membuat sedikit perubahan pada perkara berkenaan.

Sekiranya seseorang pengguna tidak menerima polisi baharu ini, mereka akan dipaparkan dengan notifikasi dengan kerap sehingga mereka menerima polisi baharu ini.

WhatsApp mengatakan mereka akan memaparkan notifikasi berkenaan beberapa kali sebelum beralih ke fasa seterusnya selepas mencuba beberapa minggu.

Selepas itu, pengguna tidak akan dibenarkan untuk mengakses senarai sembang permesejan. Apa pun, WhatsApp mengatakan pengguna masih boleh menjawab panggilan suara dan video, selain turut melihat notifikasi mesej, dan membalasnya dengan tap pada notifikasi berkenaan.

Selepas beberapa minggu perkara berkenaan dilaksanakan – sekiranya pengguna masih tidak menerima polisi berkenaan, WhatsApp akan menghalang anda daripada menerima panggilan ataupun notifikasi – sekaligus membuatkan anda tidak boleh menggunakannya.

WhatsApp mengatakan mereka tidak akan memadam akaun sekiranya tidak menerima polisi baharu ini. Tetapi, anda hendaklah sedia maklum yang mana WhatsApp akan memadam akaun selepas tempoh tidak aktif yang lama – yang akan anda alami sekiranya dihadkan penggunaan, dan tidak mengakses aplikasi berkenaan selama 120 hari.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd