Cari @ Amanz

Mungkin sesetengah daripada anda tidak tahu akan jenama TiVo. Mereka telah lama berkhidmat sebagai penyedia perakam kandungan pada televisyen ke dalam dekoder, kemudian turut berkecimpung dalam industri televisyen pintar.

Pada tahun lepas, buat pertama kalinya mereka hadir dengan dongel Android TV – yang mana adalah antara produk mereka paling mampu milik. Ia juga cukup berkuasa dan sedia bersaing dengan Mi Box S, Mi TV Stick dan banyak lagi. Tetapi pesaing sebenar mereka adalah Google. Disebabkan Google, mereka telah memutuskan yang dongel Android TV mereka – TiVo Stream 4K adalah yang pertama dan juga yang terakhir.

TiVo sebelum ini pakar dalam menyediakan perisian, seperti aplikasi/antarmuka sistem dengan integrasi pelbagai kandungan daripada platform penstriman video. Tetapi dengan Google yang mula memperkenalkan Chromecast with Android TV dan turut menyediakan antaramuka dengan integrasi sama – TiVo menyatakan mereka tidak boleh bersaing. Bukan itu sahaja, dengan aplikasi Google Play Movies & TV yang sudah ditamatkan – kerana kandungan sewa dan beli diintegrasi terus ke YouTube pada Android TV dan Google yang mula mengehadkan penggunaan perkhidmatan mereka TiVo mula tidak yakin boleh menandingi Google.

Harga Chromecast baharu ini juga sudah semakin murah. Di Amerika Syarikat ada yang mula menjual pada sekitar $30, iaitu sekitar bawah RM200. TiVo yang menjual pada harga $50 iaitu sekitar bawah RM300 – lebih susah untuk mereka bersaing.

Ia mungkin tidak begitu popular, kerana tidak dijual di Malaysia secara rasmi. Tetapi peminat tegar Android TV dan para komuniti di Malaysia telah menjual set import dengan kuantiti yang banyak. Jika anda pandai cari, ia kini boleh didapati pada harga bawah RM200 – berbanding sebelum ini saya beli pada harga menghampiri RM300.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd