Cari @ Amanz

Dalam filem Hollywood seperti Live Free or Die Hard dan Swordfish, kita melihat penggodam mengambil alih grid kuasa dengan hanya menggunakan komputer. Mungkin ramai menyangka ini sekadar fiksyen tetapi perkara yang hampir serupa telah berlaku di Amerika Syarikat pada hujung minggu lalu.

Kumpulan penggodam DarkSide berjaya menyerang sistem komputer syarikat Colonial Pipeline yang membekalkan bahan api untuk pantai timur Amerika Syarikat. Selepas 100GB data dicuri, sistem dikunci menggunakan perisian tebusan. Akibatnya operasi paip minyak sepanjang 8850 km dari Texas ke New Jersey terhenti.

Hacker Godam Papan Kekuncti

Ini akan mendatangkan masalah bekalan api untuk sektor penerbangan dan pengangkutan dalam masa beberapa hari sahaja lagi. Pihak berkuasa Amerika Syarikat telahpun memberikan bantuan kepada Colonial Pipeline untuk memulakan semula operasi sistem yang telah dijadikan tebusan.

Serangan perisian tebusan meningkat sejak dua tahun lalu dengan syarikat seperti Honda, Garmin, Acer, Boeing dan Media Prima di Malaysia menjadi mangsa berprofil tinggi. Ini memaksa Microsoft dan 18 lagi syarikat teknologi bekerjasama menghasilkan pasukan untuk menentang perisian tebusan.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd