Carian
Samsung Dilaporkan Akan Hadir Dengan Cip Yang Boleh Bersaing Dengan Apple M1 Pada Tahun Ini
May 11, 2021 Fahim Zahar

Samsung telah mengesahkan yang cip pemprosesan peranti mercu mereka kelak akan hadir dengan integrasi GPU daripada AMD. Cip ini akan dibina berasaskan rekaan 5nm dan akan menjadi permulaan baharu Samsung untuk bersaing dengan Apple dan juga Qualcomm.

Menurut The Korea Economic Daily, cip ini akan digunakan pada telefon pintar dan juga komputer riba yang mana adalah strategi seakan Apple dengan cip M1 mereka. Secara tidak langsung memberi petanda yang ini adalah cip Exynos, mungkin pengganti Exynos 2100 iaitu Exynos 2200. Sumber turut menyatakan yang cip ini akan diperkenalkan seawal pertengahan tahun ini.

Apple M1

Sejak tahun lepas sehinggalah sekarang, Samsung telah semakin maju dalam pembangunan cip pemprosesan. Lihat sahaja cip Exynos 1080 yang terhad di China dan juga Exynos 2100 yang dijalankan pada Galaxy S21, ia lebih baik daripada Exynos generasi lama. Samsung juga telah memperkenalkan komputer riba baharu mereka, yang mana Galaxy Book Pro dan Galaxy Book Pro 360 dengan cip Intel generasi ke-11. Tetapi masih tiada komputer riba atau tablet dengan cip yang setanding M1.

Mungkin melalui cip Exynos 2200 ini Samsung akan menjadi yang pertama bersaing dengan Apple M1 sebelum Qualcomm hadir dengan cip baharu mereka. Walau bagaimanapun, dengan isu kekurangan cip – peranti dengan cipini mungkin tidak akan menjadi realiti begitu awal. Sama-sama kita nantikan.

Komen