Cari @ Amanz

iOS 14 adalah antara iOS yang paling menarik pernah saya gunakan. Antara ciri yang membuatkan saya ingin terus menggunakan iPhone adalah sokongan widget, yang mana ciri ini sudah wujud pada peranti Android sejak azali lagi. Tetapi seperti biasa, iterasi Apple adalah berbeza dengan memberikan pengalaman penggunaan yang jauh lebih baik dan mesra pengguna.

Walau bagaimanapun, seperti Android – pembangun aplikasi haruslah mengemaskini aplikasi mereka untuk menyertakan sokongan ini. Jika tidak ia akan terhad kepada aplikasi tersendiri Apple sahaja. Selepas sekian lama menanti, akhirnya aplikasi Chrome daripada Google hadir dengan sokongan widget untuk iOS dan iPadOS. Ciri ini hadir dalam Chrome versi 90.

Melalui ciri ini, terdapat tiga widget yang disertakan. Satu adalah jenis tile memanjang yang menawarkan akses pantas kepada bar carian, mod inkognito, carian berasaskan suara serta imbasan kod QR. Dua lagi adalah saiz tile kecil yang menawarkan akses pantas carian Chrome dan juga permainan Dino yang terkenal Chrome.

Anda hanya perlu buka App Store, kemaskini Chrome dan akses Edit Skrin Utama serta tekan ikon “+”. Anda juga boleh akses widget ini melalui talam widget khas dan tatal ke bawah, kemudian tekan Edit. Cari ikon Chrome atau jika baru kemaskini ia akan dicadangkan di bahagian atas sekali.

Kemaskini ini selari dengan janji Google pada November tahun lepas, di mana kebanyakan aplikasi Google akan menerima sokongan widget – seperti GMail, Google Calendar dan Google Fit. Sama-sama kita nantikan kemaskini aplikasi yang lain.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd