Bermula Jun 2021, Apple Music akan menyokong audio kualiti tertinggi nirhilang dan spatial tanpa pengguna perlu melanggan kepada pelan yang lebih mahal. Pengumuman Apple ini memaksa Amazon Music turut menawarkan pakej yang serupa bagi memberikan persaingan. Tetapi ramai mungkin tidak menyedari berita baik yang diumumkan oleh Apple semalam hadir dengan satu berita buruk.
Audio berkualiti paling tinggi nirhilang Apple Music adalah dalam bentuk ALAC (Apple Lossless Audio Codec). Pada waktu ini kesemua aksesori audio bluetooth Apple masih tidak menyokong codec ALAC kerana hanya sekadar menyokong codec AAC. Dua format audio nirhilang yang disokong Apple Music ialah ‘Lossless’ 16-bit 44.1kHz sehingga 24-bit 48kHz dan ‘Hi-Res Lossless’ 24-bit 192kHz.
Jadi untuk menikmati muzik pada kualiti tertinggi pelanggan Apple Music perlu menggunakan aksesori berwayar dengan penyesuai dengan DAC terbina. Berita baik setakat ini ialah kualiti audio tinggi boleh dinikmati pengguna Apple TV yang menyambungkannya kepada pembesar suara. HomePod disahkan tidak menyokong audio definisi tinggi tetapi boleh menyokong audio spatial.