Android TV dan Google TV kini semakin diminati orang ramai. Ini kerana ia fleksibel dengan menyokong pelbagai aplikasi penstriman, permua, YouTube, boleh telesidang dan banyak lagi. Google TV yang lebih baharu pula semakin berkembang, daripada Chromecast with Google TV ke televisyen pintar Sony dan akan datang TCL.
Di acara Google I/O 2021, selain daripada mengumumkan aplikasi alat kawalan baharu untuk kedua-dua sistem operasi televisyen pintar ini – Google turut umumkan kehadiran sistem Cast baharu Cast Connect with Stream Transfer and Stream Expansion.
Sistem cast ini membenarkan peranti siarkan kandungan daripada telefon, tablet atau Chrome OSterus ke Android TV. Tetapi, apa yang baru adalah – pengguna boleh pindahkan kandungan yang disiarkan tadi ke peranti lain atau untuk audio mainkan pada lebih daripada satu aksesori audio.
Untuk pembangun, Google memperkenalkan pelagak berasaskan Android 11 untuk membangunkan aplikasi tanpa menukar peranti sedia ada ke peranti dengan spesifikasi baharu. Meneruskan sokongan Firebase, Google turut bawakan Firebase untuk platform Android TV. Secara tidak langsung memudahkan pembangun bangunkan aplikasi. Google turut akan tawarkan peranti baharu khusus dengan sokongan ini untuk mudahkan lagi para pembangun.
Seperti biasa, setiap tahun akan ada sistem operasi Android TV baharu. Walaupun Android 11 Android TV masih belum diedarkan – dan banyak peranti masih menjalankan Android 9/Android 10. Ia tidak menghalang Google untuk terus bangunkan versi Android 12 pula. Android TV kini hadir dengan versi Beta 1 Android 12 melalui peranti ADT-3.