Cari @ Amanz

Sepanjang tengah malam sehingga hampir subuh awal pagi tadi, Google telah mengadakan acara Google I/O 2021 secara atas talian. Ia adalah antara acara Google yang memfokuskan kepada para pembangun, sambil ingin memberitahu kepada pengguna Android apakah yang akan ditawarkan Google dalam masa terdekat.

Sudah tentu, pengumuman yang paling dinantikan ialah ciri baharu Android 12. Selepas ia diumumkan, Beta 1 terus ditawarkan kepada peranti Pixel dan saya telah mencubanya. Ini adalah apa yang baik dan buruk pada Android 12.


1. Kelebihan : Rekaan Material You Lebih Ceria

Selepas tujuh tahun menggunakan rekaan Material Design, Google akhirnya membawakan perubahan besar Pada Android 12 Google memperkenalkan rekaan baharu yang diberi nama Material You. Rekaan antaramuka ini kini lebih ceria dan interaktif. Ia juga adalah rekaan yang adaptif, di mana tema boleh berubah mengikut imej latar belakang pengguna.

Selain itu, akhirnya Google mengumumkan secara rasmi kemampuan mengubah tema secara keseluruhan sistem. Android 12 menyokong perubahan warna elemen antaramuka mengikut warna imej latar belakang yang digunakan menerusi proses yang diberi nama Color Extraction. Pengguna kemudian boleh memilih menggunakan tema warna yang disarankan atau mengubahnya mengikut roda warna pilihan sendiri. Yang mengecewakan ialah sistem mengubah tema warna ini adalah eksklusif pada peranti Pixel 3 dan ke atas sahaja pada waktu ini.

2.Kelebihan : Ikon Besar Memudahkan Penggunaan

Antara perkara menarik lain yang mengubah pengalaman penggunaan Android 12 adalah, penggunaan ikon dan teks yang lebih besar. Selain itu setiap tetingkap direka dengan rekaan Bubble atau sejenis Squircle yang kelihatan lebih kontemporari seperti yang dipopularkan oleh iOS 14.

Ia menjadi menarik kerana antaramuka baharu ini tidak membazirkan ruangan pada skrin, memanfaatkan skrin secara sepenuhnya dan lebih mudah dikendalikan dengan sebelah tangan. Sudah tiba masanya anjakan paradigma rekaan antaramuka dilakukan Google kerana ketika Material Design diperkenalkan pada tahun 2014, purata saiz skrin Android adalah sekitar 5-inci sahaja. Kini skrin bersaiz 6.5″ sudah menjadi perkara biasa. Elemen antaramuka yang kecil sudah tidak lagi serasi dengan penggunaan semasa.

3. Kelebihan : Talam Notifikasi Baharu

Sistem talam notifikasi juga telah diperbaharui. Ia bukan sahaja lebih besar, tetapi lebih mudah untuk digunakan kerana mesej dikumpulkan setempat mengikut kategori. Kelihatan lebih teratur dan mudah dibezakan mengikut aplikasi mesej tersebut diterima. Apabila talam notifikasi ditarik ke bawah, ia menutup keseluruhan skrin dengan skrin lutsinar Android 11 tidak lagi digunakan. Dengan talam notifikasi yang lebih besar, proses membalas mesej dari talam juga lebih mudah

4.Kelebihan : Skrin Kunci Baharu

Konsep penggunaan mudah sebelah tangan digunapakai pada skrin kunci. Hanya terdapat widget jam besar memenuhi skrin apabila tiada notifikasi diterima. Nampak minimalis dan cukup praktikal. Apabila notifikasi diterima, widget jam mengecil dengan belon notifikasi mengambi alih ruang tersebut.

Seperti pada talam notifikasi, mesej dikumpulkan mengikut kategori untuk memudahkan ia dibaca dan pengguna melihat sekilas pandang ianya penting ataupun tidak. Dari sudut ini, sistem notifikasi Android 12 adalah lebih teratur berbanding iOS 14.

5. Kekurangan : Sesetengah Ciri Eksklusif Pada Pixel Sahaja

Seperti yang berlaku sejak Pixel dilancarkan, Google hanya memberikan beberapa ciri baharu secara eksklusif pada peranti Pixel keluaran mereka. Itupun terhad kepada Pixel 3 dan ke atas sahaja. Alasannya mungkin untuk menarik minat pengguna Android untuk memilih peranti mereka berbanding peranti pengeluar.

Tetapi mod pintar Color Extraction yang mengubah tema warna antaramuka mengikut imej latar pengguna terhad pada Pixel sahaja. Sebagai pengguna kami hanya boleh berharap ciri ini eksklusif ini akan diberikan kepada semua peranti Android seperti mana Audio Transcribe, Digital Wellbeing, Navigation Pill dan rekaan kompak Google Assistant kini sudah menjadi standard pada peranti Android 11 selain Pixel.

6. Kelebihan : Widget Baharu

Akhirnya, selepas melihat Vivo hadir dengan Origin OS – Google membawakan juga sistem widget baharu. Selepas bertahun lamanya widget pada Android seakan dianaktirikan kerana tidak efisien dan perlu bergantung kepada widget pihak ketiga, Android 12 membawakan sistem widget ditambah baik.

Selain mengikut tema Material You, ia juga interaktif dengan sokongan boleh berubah bentuk, boleh berubah warna serta lebih mudah disusun. Ia akan menjadi konsep seakan iOS 14 dan Origin OS tetapi secara terbina pada AOSP Google.

7. Kekurangan : Hilangnya Identiti Google

Berdasarkan komen yang kerap ditinggalkan pembaca, ramai menyukai antaramuka Android asli kerana ianya ringan, minimalis dan ringan. Walau bagaimanapun selepas tujuh tahun, estetik Material Design sudah kelihatan agak basi.

Rekaan baharu Material You kini banyak meminjam rekaan antaramuka Samsung One UI. Jika anda memang meminati Samsung ini bukanlah sesuatu yang negatif kerana sama ada anda suka ataupun tidak, One UI adalah antara antaramuka yang paling mesra pengguna, ergonomik dan moden.

Jika anda membenci Samsung pula , Material You seolah-olah menunjukkan Google sudah mula kehilangan identiti tersendiri sama seperti yang berlaku pada OnePlus OxygenOS (yang turun meminjam dari One UI). Selain One UI, ia turut jelas meminjam elemen-elemen dari iOS 14 seperti widget baharu yang besar.

8. Kelebihan : Notifikasi Dan Kawalan Privasi Lebih Baik

Privasi ialah perkataan yang mula menjadi bualan ramai sejak skandal Cambridge Analytica melanda Facebook. Data pengguna dijual untuk tujuan pengiklanan dan menjadi senjata untuk memanipulasi sentimen. Apple segera melancarkan kempen yang mendakwa peranti mereka lebih selamat serta meletakkan privasi pengguna di hadapan keuntungan. Banyak aplikasi (seperti Facebook) didapati mengakes kamera, mikrofon dan membaca dari clipboard kerana notifikasi ia diakses didedahkan oleh iOS 14.

Pada Android 12, Google memberikan ciri yang sama dengan lampu menyala apabila kamera dan mikrofon diakses. Bagi yang masih risau diri diintip oleh pihak yang tidak berkenaan, butang menghalang terus akses kepada kamera dan mikrofon turut diperkenalkan di menu Quick Settings.

9. Kelebihan : Papan Pemuka Privasi

Meneruskan usaha untuk membenarkan pengguna mengawal hal privasi dan sekuriti masing-masing, Android 12 hadir dengan Privacy Dashboard. Papan pemuka ini adalah seakan Digital Wellbeing cuma menunjukkan “kesihatan” privasi peranti.

Setiap akses kebenaran yang diberikan akan dipaparkan dalam bentuk susur masa lengkap dengan cop waktu serta berapa lamakah akses tersebut diberikan secara keseluruhan. Pengguna kemudiannya boleh menarik akses kebenaran yang diberikan kepada aplikasi terus dari Privacy Dashboard tanpa perlu mengorek ke dalam tetapan aplikasi seperti yang digunakan sekarang.

10. Kekurangan : Masih Tiada Sistem Halangan Penjejakan Iklan

Apple penjejakan iklan

Kami memuji sistem kawalan privasi dan Privacy Dashboard baharu Android 12. Ia adalah dua langkah yang baik tetapi Google tidak melakukan implementasi privasi yang lebih menyeluruh seperti iOS 14.5. Masih tiada sistem yang menghalang segala bentuk penjejakan dalam aplikasi bagi tujuan pengiklanan pada Android 12 seperti yang sudah menjadi standard di iOS.

Dalam sesi temubual bersama media pagi tadi, wakil Google tidak boleh memberikan jawapan jelas sama ada ciri seakan App Tracking Transparency (AAT) ini akan diberikan dalam masa terdekat. Ini tidak mengejutkan kerana pengiklanan ialah antara sumber utama perniagaan mereka dan pengenalannya pasti menjejaskan pendapatan syarikat.

11. Kelebihan – Akhirnya Butang Kuasa Menyeru Assistant

Ciri menyeru Google Assistant dengan menekan butang kuasa dipopularkan oleh Huawei. Ia kini digunakan meluas pada beberapa pengeluar lain. Menerusi Android 12, ia akhirnya dikembangkan secara menyeluruh termasuk pada peranti Pixel yang selama ini tidak menyokongnya. Ciri ini amat berguna kerana peranti tidak perlu dinyahkunci terlebih dahulu sebelum Assistant boleh diseru sekaligus menjimatkan masa.

12. Kelebihan : Mungkin Menamatkan Era Pelancar Pihak Ketiga

Ini lebih kepada pendapat peribadi saya sendiri. Melalui Android 12, Google dilihat seakan ingin membunuh pelancar pihak ketika pengeluar yang membayar lesen menggunakan Android. Android 12 semakin sarat dengan ciri tambahan seperti sokongan tema, widget dan banyak lagi yang semalam ini tidak ditawarkan pada Android asli.

Trend semasa juga melihat Samsung, Vivo, Oppo dan lain-lain semakin ke arah Android asli dengan kurangnya kustomasi melampau seperti era awal antaramuka TouchWiz, Timescape, FunctouchOS dan ColorOS. Jika dahulu Google berjaya pengeluar menggunakan sistem kawalan gestur AOSP, tidak terkejut jika elemen Material You ini akan diwajibkan juga.

Mungkin dalam masa terdekat Android boleh menjadi seakan iOS. Satu sistem untuk semua dengan hanya perubahan kecil pada ciri tambahan dapat dilihat pada peranti pengeluar berlainan. Fragmentasi sistem operasi dapat dikurangkan dan isu lambat memberikan kemas kini dapat dikuburkan.


Teks asal Fahim Zahar dengan teks tambahan oleh Effi Saharudin

© 2023 Amanz Media Sdn Bhd