Siri Oppo Reno6 akan dilancarkan tidak lama lagi dan pagi ini rekaan Oppo Reno6, Reno6 Pro dan Reno6 Pro+ telah ditiriskan oleh @evleaks menerusi ciapan beliau. Sekilas pandang ia seperti peranti yang merupakan anak hasil perkahwinan Samsung dan Apple.

Oppo Reno6 misalnya mempunyai sisi rata seakan iPhone 12 dengan kedudukan butang kuasa serta laras audio yang juga diinspirasikan dari produk Apple ini. Sementara itu skrin pula rata dengan lubang kamera pada bucu atas kiri. Bonggol kameranya pula masih mengekalkan estetik Reno5 yang dilancarkan awal tahun ini.

Oppo Reno6 Pro 5G pula mempunyai sisi yang dibulatkan sama seperti rekaan standard Oppo sebelum ini. Skrin besar dengan bezel nipis digunakan pada bahagian hadapan sama seperti Find X3 Pro dan tidak melampau dikatakan mirip siri Galaxy S. Kedudukan butang kuasa dan laras audio sama seperti Reno6.

Akhir sekali ialah Oppo Reno6 Pro+ yang sama seperti Reno6 Pro 5G cuma terdapat lensa tambahan pada kamera di bahagian belakang serta konfigurasi flash berganda yang unik. Sensor tambahan ini mungkin untuk makro atau pengesan kedalaman. Ketiga-tiga peranti akan dilancarkan pada 27 Mei hadapan.