Twitter sebelum ini telah mengumumkan akan melancarkan Ticketed Spaces yang membolehkan bayaran dikenakan kepada sesiapa yang ingin menghadiri sesi Spaces pengguna. Dengan ciri ini, pengguna akhirnya boleh menjana pendapatan menerusi Twitter dengan menawarkan sesi temubual, perbincangan topik menarik atau berkongsi tips.

Twitter berkata mereka akan mengambil 20% pendapatan yang dijana menerusi Ticketed Spaces. Tetapi ini adalah selepas Apple atau Google mengambil potongan mereka menerusi sistem IAP tersendiri. Seperti sedia maklum Apple secara standard mengambil potongan 30%. Pembayaran akan dilakukan menerusi perkhidmatan Stripe dan oleh itu pengguna perlu memiliki akaun Stripe juga.
Seperti kesemua platform media sosial yang wujud pada waktu ini, kemampuan menjana pendapatan khususnya oleh golongan selebriti media sosial adalah perlu terutamanya di zaman pandemik. Pada waktu ini ciri Ticketed Spaces akan ditawarkan kepada pengguna di Amerika Syarikat terlebih dahulu dengan 1000 pengikut.