Desas-desus mengenai perancangan Realme untuk hadir dengan televisyen pintar terbaru mula bertiup kencang sejak bulan April yang lalu. Khabar angin ini diperkuatkan lagi dengan penularan gambar yang memaparkan rekaan sebuah televisyen beserta nama model “Realme Smart TV 4K 43-inci″ sebelum ini.
Melaluinya, kita boleh menyifat perkembangan tersebut sekaligus memberi petanda ianya bakal dilancarkan tidak lama lagi. Namun kini, tarikh pelancarannya telah didedahkan menerusi poster acah tersebar yang menunjukkan ia dijadualkan berlangsung pada 31 Mei 2021.
Buat masa ini, tidak banyak yang didedahkan oleh Realme mengenai televisyen pintar ini. Memetik laporan Gsmarena, ia dijangka ditawarkan dalam dua saiz skrin yang berbeza – iaitu 43-inci dan 50-inci. Ia juga bakal menampilkan pengalaman tontonan yang menakjubkan dengan sokongan Dolby Vision dan sokongan Dolby Atmos pula untuk pengalaman audio yang imersif. Selain itu, ia juga menyokong Dolby Cinema yang didatangkan dengan pembantu suara. Seterusnya, televisyen ini juga dilengkapi reka bentuk premium bersama sokongan bezel yang nipis.
Bersama-sama pengenalan ini, Realme turut akan memperkenalkan Realme X7 Max 5G yang sebenarnya merupakan tumpuan utama untuk acara pelancaran berkenaan. Ia merupakan peranti terawal Realme dengan janaan cip MediaTek Dimensity 1200 di pasaran India.
Terdapat juga spekulasi tersebar yang mendakwa ia hanyalah sebuah Realme GT Neo yang dijenamakan semula untuk pasaran India. Tambahan pula, rekaan fizikal yang amat mirip. Ditambah lagi dengan spesifikasi dalaman padanya yang sama seperti skrin Super AMOLED 120Hz, tri-kamera dengan sensor utama 64-Megapixel dan pengecasan pantas 50W – sekaligus menguatkan lagi dakwaan ini.