Cari @ Amanz

Serangan penggodam meningkat sejak dunia berpindah ke bekerja dari rumah. Kerentanan pada komputer peribadi ketika mengakses rangkaian tempat kerja menyebabkan kes perisian tebusan meningkat dan antara yang menjadi mangsanya ialah ACER, Apple, Canon, Honda Garmin. Kelemahan pada perisian diserang oleh penggodam untuk memasang perisian hasad dan tebusan.

DARPA telah memulakan program System Security Integrated Through Hardware and firmware (SSITH) tahun lalu yang mencabar mereka yang berminat untuk menghasilkan perkakasan yang sukar digodam. Lima sistem telah dibangunkan dan selepas ujian yang melibatkan 525 kontrak keselamatan dan 13,000 jam berakhir hanya Morpheus berjaya menghalang segala bentuk percubaan untuk menggodam.

Cip Morpheus dibangunkan oleh University of Michigan dan ianya unik berbanding cip pemproses lain kerana senibinamikronya berubah-rubah sepanjang masa. Pada cip pemproses biasa, penggodam perlu mengetahui senibinamikro sebelum perisian hasad dibangunkan. Ini ialah asas kepada wujudnya kerentanan Spectre dan Meltdown yang menimbulkan panik kepada pengguna komputer Intel tiga tahun lalu.

Morpheus mematahkan kesemua bentuk serangan dengan mengubah senibinamikro setiap beberapa ratus milisaat secara rawak. Kerana perubahan yang amat pantas serta rawak ini, adalah hampir mustahil untuk sebuah perisian hasad dibangunkan untuk menyerang sistem menggunakan cip Morpheus.

Pembangun mengatakan untuk penggodam mematahkan sistem senibinamikro Morpheus yang sentiasa berubah ini, ia seperti cuba menyelesaikan sebuah kiub Rubik yang berubah-rubah dengan pantas.

Pada waktu ini perubahan dilakukan setiap beberapa ratus saat tetapi University of Michigan ingin mengubahkan ke setiap 10 milisaat. Pada kelajuan ini, ia lebih pantas dari masa yang diambil untuk menghantar data menerusi Internet. Dengan kata lain untuk menggodam komputer dengan Morpheus godaman menggunakan talian Internet adalah mustahil.

Dengan kejayaan Morpheus menentang serangan penggodam, pembangun kini cuba menggunakannya sebagai cip untuk storan awanan.

Sumber IEESpectrum dan University of Michigan menerusi New Atlas

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd