Cari @ Amanz

Jika pengeluar telefon pintar mula kembali menggunakan rekaan skrin rata, ini tidak bermakna teknologi skrin melengkung turut dihentikan pada peranti lain di pasaran. Industri televisyen dan monitor masih banyak menggunakan skrin melengkung dengan hasrat untuk menawarkan pengalaman menonton yang lebih imersif.

Di waktu awal dahulu produk dengan skrin melengkung dijual pada harga yang mahal, ia kini harganya semakin mampu milik. Contoh terbaik ialah monitor LG L38WK95C yang kami ulas tiga tahun yang lalu dijual pada harga RM6300.

Di Makmal Amanz, kami telah menerima monitor Prism+ X340 Pro 165Hz. Ia adalah paparan khusus untuk gaming dan produktiviti dengan skrin melengkung, saiz 34-inci, menyokong HDR400, resolusi UWQHD dan kadar segar semula 165Hz tetapi ditawarkan pada harga yang jauh lebih murah RM1799 sebuah. Selepas menggunakannya sepanjang tempoh bekerja dari rumah ini, kami merasakan ia mungkin adalah antara paparan terbaik dalam kelasnya.


Spesifikasi Dan Rekaan

Skrin34″ LED VA, 3440 x 1440 piksel, 21:9
HDR400, 165Hz, 178 darjah lengkungan
Sokongan Warna120% sRGB
Nisbah Kontras3000 : 1
Kecerahan400 cd/m²
Masa Tindak BalasMencapai 1 ms
Sokongan Paparan AdaptifAdaptive Sync
CagakVESA
I/O2x Display Port 1.4 + 2x HDMI 2.0
AudioBicu Audio 3.5mm
USBTiada
Kamera WebTiada
HargaRM 1799

Sekilas pandang, monitor ini jelas sekali adalah OEM dengan iterasi tersendiri. Pembekal panel skrin VA untuk Prism+ adalah sama dengan beberapa jenama lain yang sudah berada di pasaran. Fokus Prism+ pada X340 ini adalah skrin melengkung 34-inci, panel LED dengan resolusi UWQHD, nisbah paparan adalah 21:9 dengan sokongan kadar segar semula 165Hz. Ia juga menyokong paparan HDR yang melepasi piawaian HDR400 dan Adaptive Sync bersama-sama dengan masa tindak balas 1ms.

Kecerahan skrin adalah 400 cd/m² dengan kontras warna 3000:1 serta turut menyokong warna sRGB 120%. Untuk perlindungan mata pengguna, ia hadir dengan teknologi cahaya biru rendah dan juga bebas berkelip. Prism+ X340 Pro ini turut hadir dengan kaki boleh laras, Elevate X1 secara percuma dan paparan itu sendiri turut boleh diubahsuai arah pandangan mengikut keselesaan pengguna.

Kekurangan yang kami sedari pada paparan ini adalah, ia tiada dilengkapi speaker secara terbina sedangkan ia kini adalah standard pada kebanyakan monitor. Tetapi masih terdapat bicu audio 3.5mm untuk sambungan kepada fon kepala atau speaker luaran. Pilihan I/O yang lain adalah 2x Display Port 1.4 dan 2x HDMI 2.0 sahaja. Sebagai bonus, Prism+ turut menggunakan sistem cagak VESA dengan menyertakan sekali aksesori untuk dipasang pada kaki.

Selepas pemasangan berserta kaki, Prism+ X340 Pro ini mempunyai ketinggian 455mm, lebar pula 820mm, kedalaman adalah 320mm dengan berat 7.7kg. Setiap pembelian didatangkan sekali dengan Elevate X1, VESA Spacer 75×75 mm, kabel kuasa dan kabel DP 1.4.

Prism+ hanya menawarkan pilihan warna hitam dengan harga jualan RM1,799. Binaan paparan ini tidak begitu baik kerana rasakan amat mudah bergegar terutamanya ketika ketinggian dan sudut pandangan cuba diubah. Tetapi kaki mempunyai kemampuan melaras yang baik.

Kualiti Skrin

Prism+ X34 Pro 165Hz menggunakan panel LED dan kualiti panel adalah baik sahaja dengan lapisan kusam untuk mengelakkan pantulan cahaya agar tiada kesan silau ketika menggunakannya. Keterangannya juga baik walaupun sinaran cahaya matahari agak terang. Oleh itu kami merasakan ia tiada masalah untuk ia digunakan sebagai monitor utama di pejabat atau di rumah.

Untuk dakwaan yang ia menyokong paparan HDR, kami melakukan ujian video menerusi YouTube dan Netflix kerana ia adalah sumber kandung HDR paling mudah diakses orang ramai. Sokongan kandungan HDR adalah amat bergantung kepada platform. Sebagai contoh pada PlayStation 5 tiada masalah memaparkan kandungan HDR dari permainan dengan skrin boleh ditala menerusi menu visual konsol. Pada YouTube tiada sebarang isu dapat kami lihat dengan kandungan HDR boleh dipilih dari menu pemain web.

Menggunakan skrin ini untuk menikmati kandungan berbentuk hiburan bukan pengalaman yang boleh kami katakan memuaskan. Kerana nisbah 21:9 skrin, terdapat palang hitam pada sisi kanan dan kiri sekiranya video yang ditonton adalah pada nisbah yang berbeza. Jadi menonton filem atau drama bukanlah satu perkara terbaik untuk paparan ultra lebar seperti ini. Walaupun skrin monitor ini besar, cerah, dan memaparkan warna yang baik, ia tidak sesuai untuk menonton kandungan video kerana keseluruhan skrin tidak boleh digunakan memandangkan nisbahnya yang tidak konvensional.

Monitor ini kami rasakan lebih sesuai untuk aktivi gaming dan melakukan kerja. Untuk kerja, skrin besar ini mampu memaparkan 4 tetingkap Windows dengan cukup selesa kerana memaparkan kandungan dengan baik dan luas walaupun secara serentak. Bagi mereka yang gemar melakukan kerja secara multi tugas, ia kami sahkan boleh meningkatkan produktiviti anda.

Kekuatan sebenar mungkin adalah untuk melakukan suntingan video dan gambar. Kami banyak menggunakan perisian Photoshop dan Premiere Pro di Amanz dan kerana skrin X340 Pro yang luas, ruang bekerja adalah lebih selesa kerana ikon dan elemen lain antaramuka tidak menghalang karya yang sedang dikerjakan.

Untuk menikmati paparan warna yang terbaik, kami telah melakukan sedikit penentukuran pada tetapan sistem Windows untuk menyokong profil warna Windows. Selepas dilakukan, barulah visual yang dipaparkan Prism+ X340 Pro 165Hz kelihatan lebih menarik dan cantik. Secara lalai anda tidak boleh menikmati visual yang terbaik sejurus selepas ia dikeluarkan dari kotak.

Hampir sebulan menggunakan paparan ini, saya dapat rasakan yang penggunaan skrin besar melengkung ada faedahnya.

Pengalaman Penggunaan

Sepanjang penggunaan paparan ini, secara keseluruhan ia memberi pengalaman penggunaan yang baik. Walaupun ada sedikit isu, tetapi isu itu boleh ditolak ke tepi kerana harga jualan paparan ini. Baiklah, saya mulakan dengan apa yang baik dan apa yang saya suka terlebih dahulu.

Paparan ini mempunyai port sambungan yang terhad. Ia juga hanyalah port sambungan standard yang kerap ditemui pada monitor lain di pasaran. Yang mengecewakan hanyalah port DP 1.4 dan HDMI 2.0 sahaja diberikan. Format lebih terkini seperti HDMI 2.1, USB-C dan Thunderbolt tidak disertakan. Aneh kerana ia bukanlah inovasi baharu untuk membekalkan kuasa dari monitor ke komputer riba menerusi kabel USB-C. Ini mungkin menyumbang kepada mengapa X340 Pro boleh dijual pada harga yang lebih rendah.

Pada komputer gaming yang berkuasa – penggunaan kabel DP 1.4 sebagai sambungan ke monitor adalah pilihan terbaik bagi menikmati kadar segar semula sehingga 165Hz. Dalam ujian yang kami telah lakukan, X340 Pro memang benar-benar boleh menyokong kadar segar semula yang tinggi ini.

Walau bagaimanapun ini adalah amat bergantung kepada perkakasan yang digunakan. Pada komputer riba bukan gaming seperti Huawei Matebook, kadar segar semula adalah sehinga 60 Hz sahaja. Pada PlayStation 5 pula, ia hanya menyokong resolusi FHD 120Hz pada permainan seperti Fortnite kerana konsol memerlukan sambungan HDMI 2.1 yang tidak diskomg. Kemudian, perlu diingatkan konsol Xbox dan PS tidak menyokong paparan lebar, jadi kandungan akan dipaparkan dalam format 16:9. Menjadikan pengalaman bermain permainan video konsol kurang memuaskan kerana palang hitam yang sentiasa terpapar pada skrin.

Masalah utama saya dengan Prism+ X340 Pro 165Hz adalah sistem terbina yang tidak cukup pintar bersama dengan perisian yang terlampau asas. Sebagai contoh apabila konsol disambungkan, visual yang dipaparkan secara automatik menjadi memanjang 21:9 tanpa monitor menyedari input adalah 16:9. Kesemuanya kelihatan aneh dengan ikon dan teks kelihatan penyek! Tetapi jika port HDMI kedua disambung pada komputer riba, masalah ini hilang. Jelas sistem pengesanan nisbah input wujud tetapi perisiannya tidak berfungsi dengan baik. Isu ini juga menyebabkan menu pada monitor tidak boleh mengubah beberapa tetapan. Majoriti tetapan dikunci secara automatik.

Tetapi jika hanya komputer riba sahaja yang bersambung, masalah ini tidak muncul dan semua tetapan dalam monitor boleh kembali digunakan. Ini adalah isu kecil yang mungkin hanya berlaku pada diri saya. Kami hanya boleh berharap unit jualan sebenar tidak mempunyai isu ini dengan pengenalan firmware yang baharu.

Monitor ini juga mempunyai binaan yang biasa sahaja. Ia menggunakan hampir kesemuanya binaan plastik di mana lebih kurang sama dengan kebanyakan paparan mampu milik di pasaran. Tiada kemasan logam aluminium seperti yang ditawarkan Viewsonic, atau bingkai logam Acer Predator. Untuk saya yang tidak selalu menyentuh dan mengubah sudut pandangan atau ketinggian – binaan adalah satu aspek yang saya tidak begitu hiraukan. Tetapi rekaan seperti bezel nipis, warna bingkai dan lain-lain adalah lebih penting. Oleh itu saya bersyukur rekaan adalah standard dan sesuai dengan citarasa kebanyakan orang.

Tetapi yang menjengkelkan adalah paparan ini mudah bergegar untuk toleh ke kiri atau kanan. Gegaran yang banyak sehingga sakit hati untuk lihat kerana saya menaip kuat. Setiap kali kekunci ditekan skrin bergegar. Tetapi cadangan saya, tetapkan arah yang terbaik agar anda tidak lalui lagi masalah sama.

Fungsi Menarik

Prism+ X340 Pro 165Hz adalah paparan asas menarik untuk yang baru ingin membina komputer riba gaming atau set kerja dari rumah. Selain daripada mempunyai empat port sambungan ke paparan, panel belakang turut mempunyai sokongan VESA. Ini membolehkan paparan ini menggunakan pelbagai jenis cagak dalam format yang universal. Dengan ruangan cagak VESA, pelbagai aksesori kaki atau untuk leka ke dinding boleh digunakan.

Prism+ sendiri ada menjual beberapa jenis aksesori untuk terus ke dinding, atau meja dengan pelbagai kemampuan pergerakan untuk sudut pandangan dan keselesaan pengguna. Kaki pula, Elevate X1 diberikan sebagai percuma. Ia adalah kaki yang agak berat dan mempunyai kemampuan melaras ketinggian. Kaedah melaras juga mudah, tanpa sebarang butang dan hanya sedikit tekanan sahaja, paparan boleh bergerak. Ia juga membantu untuk kelihatan lebih kemas pada meja.

Pada kaki juga, terdapat lubang untuk kemasan kabel. Dengan boleh melaras ketinggian lubang ini juga dapat disembunyikan. Paparan juga terhad untuk pusingkan ke kiri dan kanan sahaja tidak boleh dongak atau ke bawah.

Panel belakang paparan turut ada lampu LED pegun berwarna biru, yang boleh diubah sama ada untuk menyala, pegun atau berkelip. Ia adalah satu kemasan tambahan untuk ada cahaya menyala di latar dan sesuai kepada mereka yang tiada hiasan RGB. Tetapi kalau sudah ada hiasan RGB, lampu biru ini mudah sahaja untuk dimatikan.

Kesimpulan

Bertahun lamanya saya melakukan kerja menggunakan satu komputer riba Windows + iPad + sebuah peranti Android tambahan. Dengan adanya paparan tambahan, ia mengurangkan masa skrin saya pada peranti mudah alih, meningkatkan lagi produktiviti, serta memudahkan lagi pelbagai kerja harian.

Dengan kemudahan multi-tugasan, saiz skrin besar, kualiti visual yang cukup baik dan boleh diterima – Prism+ X340 Pro 165Hz adalah sebuah monitor yang patut anda cuba. Harga jualan hanyalah RM1,799 untuk monitor lengkap dengan tapak (bukan seperti Apple Pro Display XDRO). Harganya adalah mampu milik untuk monitor ultra sudut lebar yang besar dan kadar segar semula yang tinggi. Tidak banyak di luar sana yang boleh menawarkan ciri serta pakej yang sama pada harga bawah RM2000.

Saya lihat jenama Xiaomi set import, jenama lain – semua dalam kategori ini dijual pada harga melebihi RM2000. Mungkin ada yang murah, tetapi ia adalah skrin rata, 16:9, tiada HDR, terhad 120/144 Hz dan ada juga tiada kaki.

Prism+ adalah seakan Redmi dan Realme yang menawarkan paparan untuk pengguna dengan harga yang murah berbanding pesaing. Ya, pengguna profesional sebenar seperti yang menyunting video 4K HDR, produksi, kaki gaming ekstrem – ini bukan untuk anda. Ia adalah lebih kepada pengguna umum untuk nikmati skrin besar melengkung, dengan ciri premium pada harga mampu milik.

Seperti anda membeli telefon pintar antara iOS dan Android, anda akan lihat mana baik dan buruk dan anda sanggup korbankan salah satu atau banyak ciri untuk menggunakan penawaran khusus daripada salah satu peranti. Bajet RM2000 ke bawah, saya tidak dapat cadangkan paparan lain selain daripada Prism+.


Pro

  • Skrin besar dengan selesa mempamerkan empat tetingkap Windows dengan jelas.
  • Harga amatlah kompetitif.
  • Terbaik untuk produktiviti kerana ruang kerja yang lebar.
  • Harga berpatutan dengan kemampuan yang ditawarkan.
  • Kecerahan skrin dan kualiti boleh diterima.
  • Rekaan standard yang memenuhi citarasa ramai.
  • Kaki tersedia yang boleh laras + cagak VESA yang memudahkan.

Kontra

  • Tiada sokongan HDMI 2.1, Thunderbolt atau USB-C.
  • Tiada speaker.
  • Skrin 21:9 tidak sesuai untuk menonton video yang masih banyak 16:9 dan 18:9.
  • Tidak begitu bijak mengenalpasti peranti yang bersambung.
  • Warna skrin harus ditetapkan terlebih dahulu.
  • Binaan yang terasa murah kerana mudah bergegar.

Teks asal Fahim Zahir dengan suntingan oleh Effi Saharudin

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd