Sony WF-1000XM3 adalah antara TWS yang kami gemari. Ia membawakan teknologi pembatalan hingar aktif terkenal mereka daripada Sony-1000XM3. Ia juga mempunyai kualiti audio yang baik, harga premium yang dikatakan berbaloi serta teknologi audio Sony yang sedia hebat ditawarkan dalam pakej kompak.
Set fon kepala XM3 sudah pun hadir dengan pengganti, XM4. Kini giliran TWS mereka pula hadir dengan pengganti. Sejak Februari lalu lagi kita sudah lihat rekaan Sony-WF1000XM4 tertiris. Ia membawakan rekaan yang lebih kompak, serta pada bulan ini rekaan penuh tertiris mendedahkan rekaan yang lebih dikenali ramai. Tetapi Sony kekalkan keunikan elemen rekaan asal mereka.
Terkini, laman web winfuture telah mendedahkan beberapa spesifikasi lain buat TWS ini. Akhirnya Sony menyertakan sokongan IPX4, iaitu kalis percikan yang sesuai untuk senaman dan bersukan. Ia adalah kekurangan yang ada pada model lepas. Sony turut dikatakan menggunakan cip tersendiri Sony V1 untuk kawalan pengurangan hingar ambien dan membantu sokongan ANC menjadi lebih baik. WF-1000XM4 juga dikatakan akan menyokong Hi-Res dan LDAC.
Untuk bateri, sumber menyatakan bateri adalah sehingga 24 jam dengan ANC aktif. 8 jam penggunaan terus dan 16 jam tambahan pada pod pengecas. Tetapi tanpa ANC, penggunaan secara terus boleh bertahan sehingga 12 jam. Sony juga akan menyertakan ciri baharu untuk memfokuskan kepada vokal ketika panggilan telefon dan/atau untuk seruan pembantu digital. Ciri ini digelar Precise Voice Pickup dan pengguna boleh kawal melalui aplikasi sahaja.
Harga jualan dikatakan adalah €279.90 iaitu sekitar RM1413. Jika rujuk pada model lepas, harga jualan XM3 adalah €250 iaitu sekitar RM1262 dam di Malaysia XM3 dijual pada harga RM949. Ini bermakna ada sekitar RM300 lebih murah. Ini bermakna harga jualan di Malaysia untuk XM4 mungkin sekitar RM1100 atau RM1099. Harga yang lebih murah dari harga jualan rasmi AirPods Pro. Sama-sama kita nantikan.