Cari @ Amanz

Sejak dari awal lagi, wabak Covid-19 mempunyai pelbagai nama. Pada awalnya ia adalah 2019-nCoV sebelum dinamakan semula sebagai Covid-19. Skema penamaan ini digunakan bagi mengelakkan virus menggunakan nama Virus Wuhan yang memberikan konotasi negatif kepada negara China. Tetapi kemudiannya muncul pula varian UK, Afrika Selatan, Brazil dan India yang didapati lebih berbahaya berbanding virus asal.

Sekali lagi bagi mengelakkan wujudnya konotasi negatif pada nama varian dan negara tertentu, WHO kini menggunakan huruf Yunani untuk penamaan menggantikan nama negara. Varian UK (B.1.1.7) kini dikenali sebagai Alpha, varian Afrika Selatan (B.1.351) kini dikenali sebagai Beta, varian Brazil (P.1) kini dikenali sebagai Gamma dan varian India (B.1.617.2) kini dikenali sebagai Delta.

Sebelum penamaan huruf Yunani dipilih, WHO turut mempertimbangkan penggunaan nama tuhan-tuhan Yunani tetapi huruf Yunani dilihat lebih mudah dan praktikal. Penamaan varian Alpha, Beta, Gamma dan Delta ini hanya digunakan untuk laporan media sahaja dan tidak menggantikan nama sains yang telahpun diberikan.

Selain empat varian sedia ada, penamaan untuk enam lagi varian baharu Epsilon, Zeta, Eta, Theta dan Kappa yang ditemui di beberapa negara lain juga telah diumumkan oleh pihak WHO.

Sumber WHO

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd