Samsung Dilaporkan Membangunkan Pembantu Maya Comel Seakan Bintang Kpop Menggantikan Bixby

Diterbitkan pada Jun 2, 2021. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Walaupun sudah dilancarkan empat tahun lalu, pembantu maya Bixby oleh Samsung tidak mempunyai penggunaan yang meluas jika dibandingkan dengan Assistant, Alexa dan Siri. Antara kekurangan Bixby pada hemat kami ialah ia tidak cukup pintar serta kekurangan integrasi menyeluruh berbanding tiga pesaingnya.

Kini muncul pula laporan bahawa Samsung akan menggantikan Bixby dengan Sam. Tidak seperti Bixby, Sam mempunyai “wajah” seperti manusia dengan imej pengolokannya telah ditiriskan oleh @techagent26· Dari imej yang dikongsi, Sam mempunyai wajah seorang watak animasi wanita yang membolehkan interaksi yang lebih realistik berbanding hanya menerusi suara sahaja sebelum ini.

Samsung sudahpun membangun NEON sebelum ini yang merupakan avatar realistik menggantikan manusia untuk mengambil tugas menyambut tetamu. Skrin NEON telahpun diuji di Korea Selatan dan ia boleh berinteraksi dengan pelanggan seperti penyambut tetamu sebenar. Perbezaannya yang dapat dilihat ialah Sam kelihatan seperti watak animasi yang lebih santai.

Ketika kempen menjual peranti pintar mereka tahun lalu dan awal tahun ini, Samsung menggunakan selebriti maya Lil Miquela untuk mempromosikan produk. Mungkin berdasarkan pengalaman menghasilkan NEON dan kempen bersama Lil Miquela, Samsung merasakan penggunaan watak maya seperti Sam boleh menarik pelanggan yang lebih muda.

Sumber @techagent26

Komen sekarang

komen

© Amanz / 2021 Kami