Semalam, Dell telah melancarkan siri komputer riba gaming terbaru mereka, iaitu Alienware X, sebuah siri komputer riba gaming nipis dan ringan yang masih dilengkapi dengan spesifikasi dalaman yang sangat berkuasa. Ini bukanlah kali pertama Alienware tampak hadir dengan rekaan komputer riba nipis dan ringan, tetapi sebelum ini untuk mempertingkatkan kemampuan grafik komputer-komputer riba tersebut, pengguna akan perlu membeli dermaga Alienware Graphics Amplifier.
Menerusi The Verge, Dell telah mengesahkan bahawa mereka tidak lagi akan membangunkan ataupun menjual dok eGPU tersebut, yang sebelum ini diperkenalkan sejak tahun 2014 apabila komputer riba gaming padat Alienware 13 juga diperkenalkan.
Alienware Graphics Amplifier ini menggunakan kabel dan palam khas yang hanya boleh digunakan pada komputer-komputer riba Alienware yang memilikinya. Ia menggunakan sambungan PCIe 3.0 untuk menyambungkan kad grafik kelas desktop yang dimuatkan dalam dermaga ke komputer riba Alienware untuk menjadikannya sebuah komputer riba yang berkuasa.
Akan tetapi dengan pengumuman siri komputer riba Alienware X, Dell nampaknya tidak lagi akan membangunkan dan menjual dermaga ini, dan hanya memfokuskan pembangunan komputer riba berkuasa yang hadir dengan komponen-komponen berkuasa yang terbina didalamnya.
Ini adalah kerana teknologi CPU dan grafik komputer riba dilihat semakin membangun setiap tahun, dan walaupun dalam rekaan rangka yang nipis dan ringan, pengguna sudahpun boleh mendapat prestasi gaming yang boleh dilihat hampis setaraf dengan desktop.