Cari @ Amanz

Garmin menambah dua lagi pilihan baharu untuk rangkaian peranti boleh-pakai menerusi pengenalan Garmin Forerunner 55 dan Garmin Forerunner 945 LTE. Kedua-duanya mempunyai titik fokus utama masing-masing.

Di mana, Garmin Forerunner 55 mensasarkan semua golongan yang mahukan sebuah jam yang sesuai digunakan untuk aktiviti bersukan. Sementara itu, Garmin Forerunner 945 LTE turut mempunyai sasaran yang sama tetapi dinaik-taraf dengan beberapa ciri premium yang memboleh si pemakai kekal berhubung tanpa kebergantungan kepada peranti pintar sepenuhnya.

Kita mulakan dengan Garmin Forerunner 55. Ia merupakan pengganti kepada Garmin Forerunner 45 dan dinaik-taraf dengan ketahanan bateri lebih baik berbanding sebelumnya. Ia mempunyai skrin bersaiz 1.04-inci dengan resolusi 208 x 208 piksel dan dipadankan dengan tali berasaskan silikon.

Seterusnya, ia juga dilengkapi pelbagai sensor seperti pengimbas nadi, accelerometer, glonass, galileo, GPS dan banyak lagi. Ia juga menyokong kemampuan kalis air 5 ATM dan sistem pembayaran Garmin Pay. Kapasiti bateri tidak didedahkan secara khusus. Namun, tempoh penggunaannya mampu bertahan sehingga 2 minggu dalam mod biasa atau 20 jam dalam mod GPS.

Untuk Garmin Forerunner 945 LTE pula, ia mempunyai skrin bersaiz 1.2-inci dengan resolusi 240 x 240 piksel. Ia juga dilengkapi sambungan LTE bersepadu yang membolehkan ciri keselamatan dan penjejakan tanpa telefon pintar. Misalnya, jam tangan ini akan menghantar menghantar mesej SOS kepada kenalan kecemasan yang didaftarkan jika berlaku sebarang insiden tidak diingini kepada si pemakai.

Selain itu, jam tangan ini juga dilengkapi ciri dikenali sebagai Live Track yang membolehkan pengguna berkongsi lokasi atau laluan larian masa nyata kepada pihak terdekat – seperti keluarga, rakan-rakan dan lain-lain. Walaubagaimanapun, pelan langganan diperlukan untuk menggunakan ciri-ciri yang bersambung LTE ini.

Selain itu, Garmin Forerunner 945 LTE  juga dilengkapi sejumlah ciri menarik lain seperti sensor terbina untuk pemantauan kesihatan, sistem pembayaran Garmin Pay, storan muzik sehingga 1,000 lagu (Amazon Music, Deezer atau Spotify), pemberitahuan notifikasi daripada telefon pintar dan banyak lagi. Garmin Forerunner 945 LTE diiklankan dengan kemampuan untuk beroperasi maksimum mencapai 2 minggu lamanya.

Untuk harga, Garmin Forerunner 55 ditawarkan pada  $199.99 (~RM824) dan boleh didapati dalam tiga piliha warna seperti White, Black dan Aqua. Sementara itu, Garmin Forerunner 945 LTE pula berharga $649.99 (~RM2,678) untuk seutas.

Sumber : Garmin Forerunner 55 , Garmin Forerunner 945 LTE

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd