Donald Trump Kini Digantung Dari Platform Facebook Sehingga 2023

Diterbitkan pada Jun 5, 2021. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Awal Mei lalu, Lembaga Pengawasan Facebook (Facebook Oversight Board) memutuskan untuk mengekalkan keputusan Facebook dan Instagram menggantung akaun milik Donald Trump. Akaun digantung selama-lamanya selepas melanggar terma serta syarat laman media sosial tersebut dengan menggalakkan rusuhan di Capitol Hill Januari tahun ini.

Facebook kemudian diberikan masa enam bulan untuk mengambil tindakan yang lebih wajar ke atas Donald Trump. Lembaga Pengawasan Facebook mendapati hukuman penggantungan selama-lamanya yang dikenakan oleh Facebook adalah tidak konsisten kerana tidak mengikut aturan biasa iaitu membuang kandungan terlebih dahulu, menggantung untuk tempoh sementara sebelum menggantung akaun selama-lamanya.

Hari ini Facebook akhirnya mengambil keputusan untuk menggantung akaun Facebook dan Instagram Donald Trump sehingga 7 Januari 2023. Selepas tempoh tersebut mereka akan mempertimbangkannya semula sekiranya situasi adalah bersesuaian.

Facebook turut mengumumkan garis panduan baharu untuk menggantung akaun milik tokoh awam yang melanggar terma dan syarat laman. Penggantungan terus tidak akan diberikan tetapi kini berperingkat iaitu satu bulan, enam bulan, setahun dan maksimum dua tahun. Sekiranya pemilik akaun masih melanggar terma dan syarat, barulah penggantungan kekal akan dikenakan.

Sumber Facebook

Komen sekarang

komen

© Amanz / 2021 Kami