Apple hari ini telah memperkenalkan iOS15 untuk iPhone, dan turut mengumumkan iPadOS 15 untuk tablet mereka, iPad.
iPadOS 15 akan memfokuskan kepada sejumlah perkara – terutamanya dalam menjadikan iPad sebagai sebuah mesin tugasan produktiviti yang lebih menyeluruh.
Untuk tujuan berkenaan, kini ia menawarkan sokongan multi-tugasan lebih baik. Pengguna kini boleh menggunakan dua aplikasi secara bersebelahan dengan mudah, disamping pada masa yang sama memaparkan pelbagai tetingkap yang sedang aktif pada bahagian bawah peranti – memudahkan anda bertukar tetingkap dan melihat aplikasi yang aktif.
Disamping itu, iPadOS kini menawarkan sokongan widget yang lebih menyeluruh – termasuk bersaiz besar. Apple turut menambah sebuah talam aplikasi bagi memudahkan anda mengakses senarai penuh aplikasi – dan membolehkan anda menyembunyikan skrin utama yang tidak diperlukan.
Apple juga turut menjadikan iPadOS lebih menarik melalui integrasi Quick Notes – membolehkan anda mencatatkan nota dan mengaksesnya melalui sebarang aplikasi dengan mudah.
Apple iPadOS 15 ini dijangka diperkenalkan kepada keluarga tablet iPad dalam masa beberapa bulan lagi.