Cari @ Amanz

Seperti sedia tahu, OnePlus dalam perancangan untuk hadir dengan beberapa peranti kelas pertengahan baharu tidak lama lagi. Salah satu daripadanya adalah OnePlus Nord CE 5G yang bakal dilancarkan pada 10 Jun ini. Kemudian, sebuah lagi model lain adalah OnePlus Nord N200 5G yang dikatakan khusus untuk pasaran Amerika.

Sehingga kini, peranti berkenaan masih belum mempunyai tarikh pelancaran rasmi. Bahkan, rekaan padanya turut menjadi tanda tanya sehinggalah terdapat imej pengolokan tertiris yang dikongsi oleh PCMag, baru-baru ini. Difahamkan, imej berkenaan disediakan secara eksklusif oleh pihak OnePlus sendiri dan peranti berkenaan dikhabarkan bakal menjadi telefon pintar dengan rangkaian 5G paling berpatutan daripada OnePlus kelak.

Bercakap mengenai rekaan fizikal, OnePlus Nord N200 5G dilihat akan mempunyai sistem tri-kamera di belakang. Seterusnya, ia juga bakal hadir dengan sokongan panel hadapan jenis berlubang, di samping sokongan pengimbas cap jari sisi bersama-sama dengannya. Menurut beberapa sumber lagi, OnePlus Nord N200 5G akan disertakan beberapa ciri yang terdapat pada model OnePlus N10 5G sebelum ini tetapi akan dijual pada harga lebih rendah. Antaranya seperti – paparan LCD 6.49-inci dengan resolusi 1080p yang menyokong kadar segar semula 90Hz.

Imej pengolokan dikongsi hanya memaparkan OnePlus Nord N200 dalam kemasan biru-kelabu. Namun begitu, kita boleh menyasarkan akan terdapatnya lebih banyak pilihan warna lain kelak. Seterusnya, terdapat juga desas-desus yang timbul mengatakan OnePlus Nord N200 5G mungkin diperkenalkan pada 15 Jun 2021. Namun begitu, OnePlus masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi berhubung dakwaan ini. Seperti biasa, sama-sama kita nantikan kemaskini lebih lanjut berkaitan perkara ini.

Sumber : PCMag

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd