Realme Mengacah Kehadiran Produk Baharu – Mungkin Komputer Riba

Diterbitkan pada Jun 9, 2021. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Laporan berkaitan Realme yang dijangka bakal menawarkan komputer riba tersendiri bukanlah suatu perkara baharu. Sebaliknya, ia sudah kedengaran sejak beberapa bulan yang lalu. Bahkan, mereka sendiri juga pernah bertanyakan pendapat kepada para pengguna mengenai keutamaan penggunaan komputer riba – termasuk sama ada untuk produktiviti, hiburan, permainan mahupun pendidikan.

Memetik ciapan terkini Ketua pegawai eksekutif Realme iaitu Madhav Sheth melalui akaun Twitter miliknya, jenama ini dilihat mempunyai perancangan untuk pengenalan produk baharu lagi. Produk tersebut dikatakan bakal diperkenalkan di bawah kategori baharu dan ciapan berkenaan turut menyertakan satu foto yang memaparkan produk dengan rekaan seakan sebuah komputer riba.

Turut kelihatan, produk berkenaan akan mempunyai tubuh dengan kemasan yang pusam berwarna perak seperti sejumlah komputer riba yang terdapat di pasaran. Dalam ciapan sama, Madhav turut menyertakan kapsyen dengan pengekodan ASCII yang diterjemahkan sebagai “Hello World”. Tapi sayangnya, Realme hanya sekadar mengacah sahaja, tanpa berkongsi lebih lanjut mengenai kemasan penuh mahupun spesifikasi utama pada produk berkenaan buat masa ini.

Dalam perkembangan berbeza, Realme juga seakan mempunyai perancangan untuk hadir dengan penawaran tablet tersendiri. Ia berikutan, Ketua Pegawai Pemasaran India dan Eropah iaitu @FrancisRealme kini sedang bertanyakan pendapat pengguna mengenai nama model yang sesuai digunakan pada produk berkenaan. Seperti biasa, sama-sama kita nantikan perkembangan lanjut mengenai perkara-perkara ini.

Sumber : Madhav Sheth

Komen sekarang

komen

© Amanz / 2021 Kami