Saya sudah menggunakan MacBook sejak dua tahun yang lalu. Ikhlas saya katakan ia adalah sistem operasi komputer peribadi yang paling mudah pernah saya gunakan tanpa sebarang masalah timbul. Tiada langsung dan amat berbeza dengan pengalaman Windows yang saya gunakan sejak 1998. Tetapi macOS bukan sistem operasi yang sempurna, antara isu yang paling ketara ialah apabila ingin memadam kandungan sebelum peranti dipulangkan pasca tempoh ulasan atau sebelum dijual.
macOS memerlukan sistem operasi dipadam sepenuhnya dan dipasang semula sebelum MacBook, Mac Pro, iMac atau Mac Mini boleh digunakan semula. Tetapi pada macOS Monteray kelak sistem mengembalikan semula komputer ke tetapan asal keluar dari kilang akan menjadi lebih mudah. Sistem ini akan lebih menyerupai yang digunakan pada iPhone dan iPad dimana hanya data pengguna dipadam tanpa sistem operasi perlu dipasang semula.
Ini boleh dilakukan kerana komputer yang menggunakan cip Apple Silicon atau dengan cip T2 akan hanya perlu memadam kunci penyulitan data pengguna sahaja. Data tidak perlu dipadam kerana tanpa kunci penyulitan ia tidak boleh dibaca. Pada pengguna MacBook, iMac, Mac Pro dan Mac Mini model lama yang tidak mempunyai cip T2 (apatah lagi cip Apple Silicon) ciri ini pastinya tidak boleh diakses.
Senarai lengkap peranti yang boleh menerima macOS Monterey telahpun dikongsi. Jadi kepada mereka yang selama ini merungut proses tetapan semula macOS terlalu perlahan, macOS Monterey akan mengurangkan kemarahan anda.
Sumber Apple