Rekaan Realme Book Dan Realme Pad Tertiris Ke Arena Web

Diterbitkan pada Jun 10, 2021. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Perkongsian ciapan CEO dan Pegawai Pemasaran Realme India semalam ternyata mencuri perhatian ramai. Ia seolah-olah memberi bayangan jelas bahawa jenama ini bakal hadir dengan komputer riba dan tablet tersendiri tidak lama lagi. Tapi sayang, maklumat lanjut mengenainya kekal menjadi tanda tanya. Sehinggalah kini, terdapatnya beberapa imej tersebar di arena web yang memperlihatkan rekaan pada peranti-peranti berkenaan.

Difahamkan, imej-imej berkenaan diperoleh daripada perkongsian Android Authority menerusi portalnya. Jelas kelihatan, imej-imej dikongsi bukan sahaja mendedahkan nama model, sebaliknya rekaan fizikal pada peranti. Dikenali sebagai Realme Book, rekaan tubuhnya jelas kelihatan mengambil sumber inspirasi daripada komputer riba yang dikeluarkan Apple. Menurut sumber, ia akan mempunyai binaan tubuh aluminium dengan penjenamaan Realme pada bahagian hadapan.

Seterusnya, turut kelihatan terdapatnya dua pembesar suara dan lohong udara sebagai sistem penyejukan untuk komponen dalaman pada bahagian bawah komputer riba. Kemudian, terdapat juga tiga pelapik getah yang mungkin bertujuan untuk memastikan bahagian bawah komputer riba tidak mudah calar.

Sumber turut mendakwa paparan pada RealmeBook akan hadir dengan nisbah aspek sebanyak 3:2. Kemudian, ia juga didatangkan dengan saiz bezel yang agak nipis pada bahagian sisi dan atas skrin. Tetapi, tidak pada bahagian bawah – di mana ia kelihatan agak tebal dengan penjenamaan Realme yang bewarna perak. Tidak habis di situ, ia juga dipercayai hadir dengan sokongan port sambungan USB-C dan dijangka ditawarkan dalam beberapa konfigurasi berbeza.

Seterusnya, tidak banyak maklumat yang diperoleh mengenai tablet keluaran Realme. Setakat ini, ia hanya dikhabarkan bakal dikenali sebagai Realme Pad kelak. Kemudian, ia juga dipercayai hadir dalam binaan logam dan sokongan sehingga dua atau lebih untuk kameranya.

Setakat ini masih belum diketahui bilakah kedua-dua produk ini akan dilancarkan secara rasmi. Namun, sumber menyasarkan ia berpotensi untuk diperkenalkan seiring dengan pelancaran global untuk Realme GT 5G pada 15 Jun depan. Benar atau tidak, sama-sama kita nantikan!

Sumber : Android Authority

Komen sekarang

komen

© Amanz / 2021 Kami