Pada waktu ini perkhidmatan penstriman permainan video masih lagi di peringkat awal. Stadia antara yang terawal bersama dengan NVIDIA Now dan PlayStation Now. Tetapi halangan Internet laju membuatkan idaman permainan video dimainkan seperti Netflix di mana-mana peranti masih belum menjadi nyata sebelumnya.

Kini Microsoft mengesahkan perkhidmatan Xbox Game Pass Ultimate yang menawarkan perkhidmatan penstriman permainan video menerusi Project xCloud akan ditawarkan ke televisyen pintar dan juga donge penstriman popular. Microsoft sedang dalam perbincangan dengan beberapa pengeluar televisyen pintar untuk membolehkan ini dilakukan.
Tiada perubahan pada perkakasan perlu dilakukan dan pelanggan hanya perlu memiliki alat kawalan jauh Xbox. Memandangkan Project xCloud paling awal disokong peranti Samsung, mungkin kerjasama dengan gergasi Korea Selatan ini akan diumumkan di E3 minggu ini.

Selain itu langganan Xbox Game Pass Ultimate akan dikembangkan ke pasaran Australia, Brazil, Jepun dan Mexico menjelang penghujung 2021. Pada waktu ini ia mempunyai lebih 20 juta pengguna di Amerika Syarikat. Sekiranya berjaya kelak, mungkin era konsol yang berharga ribuan ringgit, kerap sangat kehabisan stok dan rosak mungkin akan berakhir. Adakah penstriman akan akhirnya membunuh konsol?
Sumber Xbox