OnePlus Nord CE 5G Dilancarkan – Dijana Snapdragon 750G, 64MP Dan Pengecasan Warp Charge 30T Plus

Diterbitkan pada Jun 10, 2021. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Hari ini OnePlus mengadakan acara OnePlus Summer untuk melancarkan televisyen baharu mereka siri OnePlus TV U1S dan juga peranti OnePlus Nord baharu – OnePlus Nord CE 5G.

OnePlus Nord adalah peranti kelas pertengahan OnePlus yang menarik perhatian orang ramai, kerana harga jualan yang berpatutan, ciri menarik seakan peranti mercu dan juga mempunyai prestasi yang berkemampuan tinggi. Untuk OnePlus Nord CE 5G, ia bukannya pengganti kepada OnePlus Nord, sebaliknya adalah satu iterasi lebih mampu milik dengan beberapa perkara dinaik taraf dan ada beberapa terpaksa dikorbankan.

Skrin adalah 6.43-inci Fluid AMOLED dengan sokongan kadar segar semula 90Hz, HDR10 dan sRGB. Ia dijana dengan cip pemprosesan Snapdragon 750G untuk sokongan 5G, dipadankan dengan memori sehingga 12GB RAM LPDDR4X dan storan dalaman mencapai 256GB UFS 2.1. Pada kamera, OnePlus menggunakan tetapan tri-lensa dengan sensor 64MP ƒ/1.79 utama + 8MP ƒ/2.25 sudut ultra lebar dengan sudut pandangan 119 darjah bersama EIS + 2MP ƒ/2.4 Monokrom. Ia menyokong zum digital 10x, rakaman 4K 30FPS, Nightscape, UltraShot HDR dan juga mod potret. Kamera swafoto pula adalah daripada sensor Sony IMX471 16MP ƒ/2.45 dengan EIS dan rakaman 1080P 60FPS.

Untuk bateri, saiz adalah 4500mAh dengan sokongan pengecasan lebih pantas – iaitu Warp Charge 30T Plus. NFC, Bluetooth 5.1, pengimbas cap jari bawah skrin dan port bicu audio 3.5mm turut dikekalkan. Pembesar suara adalah mono. Untuk perisian, ia menjalankan Oxygen OS 11 berasaskan Android 11.

OnePlus Nord CE 5G akan dijual di India terlebih dahulu pada harga INR 22,999, iaitu sekitar RM 1,298 untuk 6/128 GB. Manakala 8/128 GB INR 24,999, iaitu sekitar RM 1,411 dan akhir sekali model 12/256 GB pula dijual pada harga INR 27,999 – iaitu sekitar RM 1,580. Pilihan warna yang ditawarkan pula adalah Blue Void, Charcoal Ink dan juga Silver Ray. Pada warna biru, kemasan kusam diberikan untuk cengkaman tambahan dan sentuhan yang lembut di belakang.

Komen sekarang

komen

© Amanz / 2021 Kami