Tesla Model S Plaid akhirnya dilancarkan secara rasmi selepas diumumkan tahun lalu. Seperti yang dijanjikan oleh Elon Musk, Model S Plaid ialah kereta keluaran massa dengan pecutan 0-100 km/j yang terpantas di dunia kerana mengambil 1.99 saat sahaja.

Secara keseluruhan kereta sedan keluarga dengan tiga motor elektrik ini mempunyai output kuasa 1,020 kuasa kuda dan mengambil masa hanya 9.23 saat untuk bergerak dalam jarak suku batu. Ia dengan mudah memintas masa yang diambil oleh Bugatti Chiron Sport, Porsche 918 Spider dan McLaren P1. Harga jualannya pula bermula dari $129,990 (~RM533,000), jauh lebih murah dari ketiga-tiga kereta lumba eksklusif yang hanya ditawarkan dalam jumlah yang kecil.

Keempat-empat roda dibekalkan kuasa dan ia boleh memecut sehingga kelajuan 321.9 km/j tetapi masih mampu menawarkan jarak perjalanan sehingga 627 km. Ini ialah kenderaan Tesla paling berprestasi tinggi yang boleh dibeli pada waktu ini dengan Tesla Roadster generasi kedua masih belum dihasilkan pada waktu ini.

Menarik sekali mengenai Model S Plaid ialah prestasinya adalah sama dengan yang dijanjikan untuk Tesla Roadster. Ini memberikan harapan Tesla Roadster generasi kedua akan menjadi lebih pantas kerana tubuh lebih aerodinamik dan ringan.