Beberapa hari lagi, Mobvoi akan melancarkan jam tangan pintar Wear OS mereka yang terkini – TicWatch E3. Ia adalah jam tangan Wear OS mampu milik mereka yang sedia terkenal dalam siri E, di mana kali terakhir dilancarkan adalah pada tahun 2019 dengan TicWatch E2.
Sebagai persediaan pelancaran jam ini, aplikasi Mobvoi turut dikemaskini ke versi 4.0. Versi kali ini membawakan banyak perubahan kepada keseluruhan aplikasi. Pertama, antaramuka baharu diperkenalkan dengan sedikit sebanyak mirip kepada aplikasi Xiaomi Wear, Huawei Health atau Zepp. Kemudian mereka memperkenalkan laporan kecergasan peribadi, menambah sistem sosial TicCare untuk mengikut perkembangan aktiviti pengguna lain dan juga sistem ganjaran dalam bentuk lencana jika pengguna mencapai sasaran untuk sesuatu aktiviti.
Mobvoi turut mengemaskini beberapa pepijat untuk menjadikan pengalaman penggunaan lebih stabil. Di dalam aplikasi ini juga, TicWatch E3 turut sudah disenaraikan. Walaupun kebanyakan jam tangan mereka adalah Wear OS dan hanya memerlukan aplikasi Wear OS daripada Google, aplikasi Mobvoi adalah aplikasi kedua untuk jam-jam ini agar pengguna boleh lihat butiran secara lebih terperinci. Ia juga adalah untuk aksesori kecergasan lain bukan Wear OS seperti TicWatch GTH dan TicWatch GTX.