Sudah agak lama Samsung tidak menawarkan peranti ultra tahan lasak mereka di pasaran Malaysia. Kali terakhir seingat kami ialah Samsung Galaxy Tab Active2 hampir empat tahun yang lalu. Tetapi bagi yang mencari telefon pintar tahan lasak, Samsung Galaxy Xcover 5 akan dilancarkan di Malaysia kelak. Peranti telah ditemui laman Nextrift melepas laman SIRIM semalam.
Samsung Galaxy Xcover 5 yang diumumkan pada Mac lalu dilengkapi skrin 5.3-inci TFT LCD dengan resolusi HD+. Ia juga dilengkapi cip Exynos 850 yang dibantu oleh memori 4GB RAM dan storan dalaman 64GB. Melengkapi peranti juga adalah bateri 3000mAh yang boleh ditanggalkan, kamera utama 16-Megapixel (f/1.8) , kamera swafoto 5-Megapixel (f/2.2) dan ketahanan IP68.
Tidak ketinggalan, ia juga melepasi piawaian tahan lasak MIL-STD810H dan dilengkapi fungsi push-to-talk yang membolehkan pengguna menggunakan peranti pintar ini sebagai walkie-talkie menerusi aplikasi Microsoft Teams.Spesifikasi lain termasuklah – sokongan NFC, pengecasan 15W, sistem operasi Android 11 dengan ciri keselamatan Knox dan sebagainya.
Sumber Nextrift