Tahun lepas, Oppo Find X2 Pro menjadi peranti mercu dengan kamera terbaik di pasaran kerana menjadi antara yang terawal diuji DXOMark, dijana Snapdragon 865, dan juga membawakan satu perubahan baru untuk peranti mercu mereka. Tahun ini, ia digantikan dengan Oppo Find X3 Pro dan akhirnya DXOMark telah menerbitkan ulasan dan skor kamera bagi peranti ini. Oppo Find X3 Pro menerima 139 mata untuk fotografi, 71 untuk zum dan 111 untuk videografi dengan skor keseluruhan 131.
Menurut DXOMark, kamera peranti ini mempunyai warna yang cukup hidup, memelihara butiran dengan baik, boleh bergantung pada imej yang terpapar di pemidang tilik, bokeh yang jitu, nilai HDR yang mencukupi, fokus yang pantas serta mempunyai penstabilan yang baik pada video. Tetapi rakaman video dan gambar di waktu malam mempunyai prestasi yang lemah. Apa-apa pun, skor 131 adalah peningkatan daripada tahun lepas yang hanya menerima mata 124 dan mata 131 ini adalah lebih tinggi daripada iPhone 12 Pro Max dengan mata hanya 130.