OnePlus Nord N200 5G Hadir Dengan Skrin 90Hz, Cip Snapdragon 480 Dan Bateri 5000mAh

Diterbitkan pada Jun 16, 2021. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

OnePlus N100 dengan janaan cip Snapdragon 460 telah dilancarkan secara rasmi sekitar Oktober tahun lalu. Terkini, OnePlus N200 5G pula diperkenalkan sebagai kesinambungan kepada model tersebut. Selain daripada sokongan 5G terbina, ia juga dilengkapi paparan lebih baik dan reka fizikal yang berbeza berbanding generasi sebelumnya. Penawarannya bagaimanapun hanya terhad untuk beberapa pasaran sahaja – seperti Canada dan Amerika Syarikat.

Menerusi sebuah kenyataan yang dikeluarkan T-Mobile, OnePlus N200 5G akan dijual secara eksklusif oleh T-Mobile dan Metro by T-Mobile bermula 25 Jun kelak. Untuk spesifikasi khusus, OnePlus N200 5G dibekalkan skrin bersaiz 6.49-inci FHD+ dengan kadar segar semula 90Hz. Di samping itu, ia juga dipadankan dengan cip Snapdragon 480, sistem tri-kamera dengan sensor utama 13-Megapixel, kamera swafoto sebesar 16-Megapixel dan bateri 5000mAh yang menyokong pengecasan 18W.

Jelas kelihatan, ia juga menggunakan rekaan fizikal yang mirip dengan imej pengolokan tersebar sebelum ini. OnePlus N200 5G mempunyai paparan dengan rekaan berlubang pada bahagian hadapan. Panel belakang pula hanya menunjukkan modul kamera dan ketiadaan sebarang bayangan untuk sokongan pengimbas cap jari. Sebabnya, OnePlus N200 5G menggunakan sokongan pengimbas cap jari sisi.

Spesifikasi lain termasuklah – bicu audio 3.5mm, port sambungan USB-C dan lain-lain. Untuk harga, OnePlus N200 5G berharga $240 (~RM988) di Amerika Syarikat. Sementara itu, ia ditawarkan di Canada pada CAD 320 (~RM1,081).

Sumber : T-Mobile

Komen sekarang

komen

© Amanz / 2021 Kami