Cari @ Amanz

Setelah sekian lama dinanti-nantikan, pelbagai imej dan spesifikasi tertiris – akhirnya Honor 50 dan Honor 50 Pro rasmi dilancarkan hari ini. Siri Honor 50 akan menjadi antara telefon pintar pertama Honor memasuki pasaran global dengan janaan cip Snapdragon.

Honor 50 Pro

Honor 50 Pro adalah peranti paling premium daripada Honor, di mana ia hadir dengan skrin 6.72″ OLED FHD+, kadar segar semula 120Hz, dijana cip pemprosesan Snapdragon 778G 5G dan dipadankan dengan memori 8/12 GB RAM dan storan dalaman 256GB UFS 2.2. Untuk kamera, pada bahagian belakang Honor menggunakan tetapan kuad-lensa daripada sensor 108MP (utama) + 8MP (sudut ultra lebar) dan dua sensor 2MP untuk makro dan kedalaman. Untuk kamera swafoto pula, tetapan dwi-lensa digunakan daripada sensor 32MP+12MP.

Peranti ini akan hadir dengan kapasiti bateri sebesar 4000 mAh yang menyokong penegcasan pantas 100W. Untuk audio, sistem pembesar suara stereo digunakan, untuk sekuriti pula, pengimbas cap jari bawah skrin disertakan dan menjalankan Magic UI 4.2 berasaskan Android 11. Honor 50 Pro turut hadir dengan tiga mikrofon untuk rakaman video lebih berkualiti dan jika ditambat dengan Honor Earbuds 2 SE, ia boleh lakukan rakaman seakan Huawei Mate 40 untuk hasil yang lebih berkualiti.

Honor turut memperkenalkan GPU Turbo X, iaitu sistem perisian untuk mengoptimasikan peranti ketika bermain permua. Melaluinya, beberapa permua boleh dijalankan pada kadar 120Hz atau seperti COD Mobile boleh dijalankan pada 90Hz.

Rekaan peranti dilihat mirip dengan Huawei P50 yang tertiris sebelum ini, di mana sebuah lubang kamera bujur digunakan di hadapan dan dua bulatan gergasi untuk modul kamera. Honor turut menawarkan pelbagai pilihan warna untuk peranti ini, antaranya adalah warna perak yang bersinar seakan berlian.

Honor 50

Untuk Honor 50, secara keseluruhan ia menawarkan rekaan dan spesifikasi yang sama sahaja dengan versi Pro. Snapdragon 778G dan kuad-kamera 108MP. Tetapi, skrin adalah 6.57″ daripada panel OLED dengan kadar segar semula 90Hz sahaja. Kemudian kamera swafoto hanya ada asatu sensor, iaitu 32MP. Memori pula adalah 8GB RAM serta pilihan storan dalaman sehingga 256GB. Bateri adalah sedikit lebih besar, iaitu 4300mAh – tetapi kuasa pengecasan dihadkan kepada 66W sahaja.

Di China, harga jualan bagi Honor 50 Pro adalah RMB3699 untuk 8/256GB (sekitar RM2381) dan RMB3999 untuk 12/256GB (sekitar RM2574). Manakala Honor 50 pula adalah RMB2699 untuk 8/128GB (sekitar RM1737), RMB2999 untuk 8/256GB (sekitar RM1930) dan untuk 12/256GB adalah RMB3399 (sekitar RM2188) . Siri Honor 50 disahkan akan dilancarkan di Malaysia juga, namun masih tidak pasti lagi model mana satukah yang akan dibawa masuk. Sama-sama kita nantikan.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd