
Motorola Defy adalah antara peranti Android terawal dengan perlindungan ketahanan air. Ia dilancarkan pada tahun 2010 dan turut mempunyai pengganti pada tahun 2011 – Defy+. Kini selepas lebih 10 tahun, Motorola dilihat ingin mengembalikan model Defy ini dengan versi 2021.
Peranti ini hadir dengan bahan binaan tahan lasak dan tahan hentakan, di mana boleh bertahan sehingga 1.8 meter jika terjatuh pada permukaan besi. Menurut Evan Blass, papan induk peranti turut diperkukuhkan untuk ketahanan komponen dalaman. Perlindungan adalah IP68 dengan dwi-kerangka. Untuk skrin, ia menggunakan panel LCD bersaiz 6.5-inci 720p dengan kaca Gorilla Glass Victus, dijana dengan cip pemprosesan Snapdragon 662 dan dipadankan dengan memori 4GB RAM serta storan dalaman 64GB yang turut boleh dikembangkan dengan kad mikroSD.

Kamera utama adalah 48MP dengan dua sensor 2MP dan kamera swafoto pula adalah 8MP. Kapasiti bateri adalah 5000mAh dengan pengecasan pantas 20W Turbo Charge yang didakwa boleh bertahan sehingga dua hari. Peranti ini menjalankan Android 10 dan Motorola menjanjikan kemaskini kepada Android 11. Peranti ini juga dilihat akan dijual pada harga mampu milik, mungkin bersaing dengan jenama tahan lasak lain seperti yang terkenal Blackview.