Leica Hadir Dengan Telefon Pintar Tersendiri “Leitz Phone 1” – Seakan Sharp Aquos R6 Dengan Tanda Harga Lebih RM7000

Diterbitkan pada Jun 17, 2021. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Leica hari ini telah melancarkan telefon pintar pertama mereka tersendiri, Leitz Phone 1. Selepas tamat kolaborasi bersama Huawei, Leica menjadi rakan kerjasama dengan Sharp untuk peranti Sharp Aquos R6. Leitz Phone 1 adalah penjenamaan semula sahaja, tetapi dengan sedikit olahan pada rekaan peranti – lebih-lebih lagi pada modul kamera.

Peranti ini menggunakan skrin 6.6-inci daripada panel Pro IGZO OLED dengan resolusi 2,730 x 1260 piksel, serta sokongan kadar segar semula 240Hz. Ia dijana dengan cip pemprosesan Snapdragon 888, dipadankan dengan memori 12GB RAM LPDDR5 dan storan dalaman 256GB UFS 3.1. Turut disertakan adalah sokongan kad mikroSD sehingga 1TB. Untuk kamera, Leica menggunakan sensor 1-inci 20.2 Megapixel dengan bukaan f/1.9 bersama sensor ToF dan kamera swafoto pula adalah sensor 12.6 Megapixel.

Leica turut menyertakan penutup magnetik untuk melindungi kamera utama dan logo ikonik titik merah mereka disertakan di belakang peranti. Bahan binaan adalah kaca hitam kusam di belakang serta badan diperbuat daripada logam. Untuk sekuriti pengimbas cap jari ultrasonik Qualcomm 3D Sonic Max digunakan. Bateri yang digunakan adalah 5000mAh. Peranti ini menjalankan sistem operasi Android 11 dengan antaramuka monokrom daripada Leica sendiri – Leitz Looks. Menurut Engadget, ia kelihatan seakan Android asli.

Harga jualan bagi peranti ini adalah 187,920 yen, iaitu sekitar RM7018 dan akan dijual di Jepun bermula 18 Jun ini. Tidak ada pengesahan daripada pihak Leica, sama ada peranti ini akan dijual di pasaran global ataupun ke pasaran tempatan.

Komen sekarang

komen

© Amanz / 2021 Kami