YTL, Genting Dan Sunway Turut Dilaporkan Ingin Memohon Lesen Bank Digital Di Malaysia

Diterbitkan pada Jun 18, 2021. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Permohonan untuk lesen bank digital di Malaysia akan ditutup pada penghujung bulan ini oleh Bank Negara Malaysia, dan perkara ini dilihat membuatkan ramai yang dalam persiapan terakhir untuk menghantar bidaan mereka mendapatkan lesen bank digital.

Setakat ini, Axiata dan RHB sedia mengumumkan langkah untuk memohon lesen bank digital ini, sementara sejumlah syarikat lain turut dilaporkan akan membidanya. Antara nama yang sedia diperkatakan adalah termasuk Grab, AirAsia, Razer, dan baru-baru ini, Petronas turut dilaporkan ingin memohon lesen bank digital.

Lanjutan daripadanya, kini ia dilaporkan YTL Corp, Genting, dan juga Sunway Bhd turut ingin memohon lesen bank digital ini. YTL sedia melakukan pelaburan tinggi dalam arena digital melalui Yes, sementara Genting dan Sunway turut dilihat memfokuskan arena digital.

Bank digital dijangka membolehkan pengguna membuat permohonan akaun terus menggunakan aplikasi mudah-alih – berbeza dengan hari ini yang perlu hadir ke cawangan untuk membuka akaun. Disamping itu, ia juga dijangka menawarkan sejumlah perkhidmatan kewangan – termasuk seperti pinjaman dan sebagainya.

Dengan perkembangan arena digital, pelbagai pihak bersaing untuk menawarkan perkhidmatan dalam arena kewangan. Hal ini membuatkan ramai yang bersaing mendapatkan lesen bank digital – apatah lagi Bank Negara Malaysia sedia mengatakan hanya lima lesen akan dikeluarkan pada 2022 kelak.

Seperti biasa, sama-sama kita nantikan lanjut berkaitan perkembangan perbankan digital ini, dan siapakah lima nama yang akan menerimanya yang bakal diumumkan pada 2022 kelak.

Komen sekarang

komen

© Amanz / 2021 Kami