Carian
Ulasan Huawei MateBook X Pro 2021 – Lebih Murah Dengan Satu Pengorbanan, Tetapi Masih Kekal Premium
June 22, 2021 Fahim Zahar

Huawei MateBook X Pro adalah siri komputer riba premium daripada Huawei yang cuba bersaing dengan MacBook. Ini kerana ia mempunyai elemen rekaan, papan kekunci dan juga harga jualan yang lebih kurang sama. MateBook X Pro juga merupakan komputer riba kegemaran saya sendiri sejak mula mengulas banyak model komputer riba daripada Huawei.

Terkini, Huawei telah mengemaskini komputer riba mereka ini untuk edisi 2021 dengan spesifikasi lebih berkuasa dan juga menjual pada harga lebih murah daripada model sebelumnya. Cuma menjadi persoalan, adakah bijak untuk Huawei hanya mengubah spesifikasi dalaman sahaja tanpa memberikan banyak pembaharuan daripada model sebelum ini? MateBook X Pro 2021 ini tiba ke Makmal Amanz sehari sebelum PKP menyeluruh dilaksanakan dan telah menjadi komputer riba harian saya sejak daripada itu. Adakah ia masih berbaloi? Adakah ia masih berkuasa? Paling penting, adakah komputer riba ini sesuai untuk bekerja dari rumah? Ini adalah artikel ulasan.


Spesifikasi dan Rekaan

Skrin13.9″ LTPS Panel Sesentuh, 3000×2000
Nisbah 3:2, 450 nits, ~260ppi
PemprosesIntel Core i5-1135G7
GrafikIntel Iris Xe
RAM16 Gigabyte LPDDR4
Muatan Dalaman512GB PCIe NVMe SSD
Kamera1MP, 720p
I/O2x USB-C, 1x USB-A, 1x bicu audio
HDMITiada
Pembaca KadTiada
ImbasanCap jari (pada butang kuasa)
SIMTiada
Bateri56Wh, Pengecas 65W
Harga JualanRM6,899

Sekali pandang, anda mungkin tidak dapat bezakan yang mana satu model 2020 dan yang mana satu model 2021. Ini kerana, rekaan keseluruhan adalah lebih kurang sama sahaja. Huawei masih lagi menawarkan pilihan warna hijau zamrud atau Emerald Green mereka yang nampak lain berbanding dengan kebanyakan komputer riba dalam kelas yang sama. Huawei mencuba satu konsep yang seimbang, iaitu sesuai untuk kerja dan juga gaya hidup. Disebabkan ia masih sama, ia tidak mempunyai faktor yang mengejutkan untuk rekaan. Kemudian, kemasan juga masih sama dengan seakan kusam tetapi masih mudah menangkap kesan kotoran cap jari.

Saiz skrin juga dikekalkan, iaitu 13.9-inci dengan panel LTPS yang sama – iaitu resolusi 3000 x 2000. Penggunaan bezel nipis, nisbah paparan 3:2 dan juga nisbah skrin-ke-badan 91% untuk pemandangan yang lebih luas. Skrin juga masih sama menyokong sesentuh, jika itu yang anda mahukan. Tetapi sepanjang saya guna komputer riba ini, saya tidak langsung menyentuh skrin. Pada hemat saya, dengan tidak menawarkan skrin sesentuh, Huawei boleh jimat lagi kos dan mungkin jual pada harga lebih rendah. Jika tidak, sekurang-kurangnya berikanlah sokongan M-Pencil untuk terus menikmati ekosistem Huawei secara lebih mendalam.

Spesifikasi dalaman adalah sedikit rendah berbanding tahun lepas. Tahun ini, Huawei hanya menjual satu model sahaja iaitu variasi yang dijana dengan cip Intel Core i5-1135G7, memori 16GB RAM LPDDR4 (sebelum ini LPDDR3) dan storan dalaman 512GB SSD NVMe. Untuk cip grafik, ia adalah antara yang terbaik dan satu pujian diberikan kepada Huawei kerana masih boleh menawarkan cip ini – iaitu Intel Iris Xe.

Port sambungan pula hanyalah ada satu USB-A 3.1, dua USB-C dengan sokongan pemindahan data, pengecasan dan Thunderbolt 4. Port sambungan bicu audio 3.5mm turut dikekalkan. Pembesar suara adalah jenis stereo, ada NFC pada pad sesentuh untuk Huawei Share dan lain-lain, papan kekunci juga lebih kurang sama dengan kamera web yang disembunyikan di dalam kekunci dengan ikon kamera melalui mekanisme pop-naik manual. Untuk sekuriti, Huawei menggunakan sistem imbasan cap jari yang diimplementasikan pada butang kuasa.

Skrin

Skrin komputer riba ini cukup menarik sekali. Menarik untuk lakukan kerja dan juga tugasan produktiviti lain. Nisbah 3:2 membantu memberikan lebih ruang untuk lebih mudah menulis artikel dan juga membaca. Tetapi, bukanlah skrin yang terbaik untuk hiburan. Jika menonton video pada resolusi rendah atau nisbah 16:9/21:9, akan ada bar hitam mengganggu. Kerja suntingan juga baik sahaja, kerana boleh memaparkan garis masa pada Premiere Pro dengan cukup baik.

Apa yang saya tidak gemar pada skrin Huawei MateBook X Pro ini adalah, ia mempunyai satu lapisan yang berkilat atau glossy yang memberikan kesan seakan cermin. Untuk penggunaan saya, saya rasa baik sahaja. Disebabkan sudah biasa dengan skrin sebegini, saya cukup berpuas hati. Jika rasa menjengkelkan, mungkin boleh cari paparan lain untuk menikmati sambungan Thunderbolt 4.

Papan Kekunci

Kalau nak tiru, tiru betul-betul dan jangan separuh masak! Itulah yang biasa saya katakan pada papan kekunci untuk hampir kesemua komputer riba Huawei. Huawei cuba mimik papan kekunci MacBook dengan satu pengalaman menaip seakan hibrid di antara papan kekunci kupu-kupu dan juga papan kekunci magis. Tetapi berbeza dengan siri D, atau MateBook biasa – nasib baik pada MateBook X Pro ini ia mempunyai travel yang baik.

Tetapi ia baik untuk mereka yang sudah biasa dengan MateBook seperti pengguna MacBook yang sudah biasa dengan apa yang Apple tawarkan. Jika tidak, ia akan mengambil masa sekitar dua ke tiga hari untuk membiasakan diri.

Papan kekunci komputer riba ini baik sahaja, cuma tidak sempurna. Saiz dan jarak adalah baik, tetapi pengalaman menekan setiap kekunci itu tidak cukup memuaskan. Kemudian, pencahayaan pada papan kekunci juga tidak begitu terang dengan hanya ada dua aras kecerahan iaitu malap atau sedikit terang. Terdapat pilihan ketika iaitu mematikannya terus.

Pad Sesentuh

Pad sesentuh MateBook X Pro 2021 nampak sahaja sama, tetapi sebenarnya tidak. Ia adalah unik dan istimewa. Ya, kemasan licin dan sentuhan yang tidak mempunyai sensitiviti memuaskan itu masih ada. Tetapi Huawei menggunakan pemandu pad sesentuh tersendiri Free Touch. Ia membenarkan pengguna mengawal maklum balas atau perasaan klik, rasa menekan sama ada untuk klik-kanak atau klik-kiri.

Ia boleh ditetapkan di mana-mana kawasan pad sesentuh dan ia juga boleh dimatikan jika hanya ingin sentuhan 100%. Ia luas dan menarik. Ia juga baik sahaja dan mudah digunakan. Tetapi disebabkan saya adalah pengguna dengan telapak tangan da jari yang mudah berpeluh – ia menjadi sedikit halangan untuk menikmati pad sesentuh yang baik ini.

Prestasi Dan Penanda Aras

Kali ini, Huawei mengorbankan satu elemen yang mungkin tidak disukai oleh sesetengah orang dan digantikan dengan satu elemen lain yang akan dihargai. Apa yang dikorbankan adalah tiada pilihan atau tidak menggunakan cip Intel Core i7 dan apa yang digantikan adalah daripada menggunakan cip grafik NVIDIA GeForce MX250, ia kini menggunakan cip Intel Iris Xe.

Walaupun hanya Intel Core i5, dengan gabungan cip grafik yang sudah terbukti hebat ini dan memori 16GB RAM berserta storan dalaman 512GB SSD – prestasi pantas tetap dapat dialami oleh sesiapa yang menggunakan komputer riba ini. Perlu ingat, ia berkuasa untuk produktiviti bukan untuk permainan video. Bukannya ia tidak boleh mengendalikan permainan video, tetapi ia tidak akan memberikan pengalaman yang memuaskan.

Jadi, saya gunakan Huawei MateBook X Pro 2021 ini untuk memastikan semua tugasan saya ketika bekerja dari rumah berjalan dengan lancar tanpa sebarang halangan atau masalah serius yang mengganggu atau yang menjengkelkan. Contohnya menulis artikel ulasan ini.

Baiklah, secara keseluruhan pengalaman penggunaan saya antara model 2021 dan model 2020 adalah lebih kurang sama sahaja. Beza paling ketara mula dirasai apabila perisian atau aplikasi yang saya jalankan memerlukan penggunaan kuasa daripada cip grafik Intel Iris Xe tadi. Grafik-grafik dalam artikel-artikel di Amanz, banyak saya sunting di Adobe Photoshop dan ada juga beberapa video untuk Aksiz saya ciap di Twitter disunting menggunakan Adobe Premiere Pro.

Penggunaan dua perisian ini langsung tidak memberikan sebarang masalah dari segi lengah masa atau menyebabkan sistem tergendala. Malah fail Photoshop dengan banyak elemen sehingga saiz mencecah ratusan MB atau fail video 1080p yang sengaja saya proses resolusi 4K mudah untuk diuruskan.

Photoshop boleh membuka banyak tab untuk saya sunting imej pengolokan untuk artikel yang ada tangkapan skrin. Manakala video 4K 1 minit boleh diproses dalam masa tidak sampai 1 minit pun. Untuk peranti Windows 10, ia adalah sangat pantas dan sangat lancar.

Tanpa sebarang perisian tambahan dibuka, kipas juga tidak bunyi bising dan peranti juga tidak memanas. Tetapi apabila pelayar web Edge dan Firefox dengan banyak tab dibuka, kerja muat turun dilakukan, mendraf artikel sambil Photoshop turut dibuka – MateBook X Pro ini mula mengeluarkan bunyi kipas yang kuat. Bahagian atas papan kekunci tidak panas sehingga sukar untuk disentuh, cuma bunyi kipas yang menderu sedikit mengganggu walaupun saya menggunakan aksesori audio dengan ANC.

Tugasan lain tidak ada masalah dan komputer riba ini masih boleh memberikan pengalaman penggunaan yang cukup baik untuk diri saya. Ujian penanda aras yang saya lakukan adalah dengan perisian 3DMark dan juga PCMark10 untuk prestasi. Manakala saya menggunakan CrystalDiskMark untuk menguji kemampuan SSD. PCMark 10 menetapkan skor daripada 3450 ke 4500 sebagai skor yang sesuai untuk kerja-kerja pejabat dan suntingan video atau gambar. MateBook X Pro 2021 ini menerima mata 3765. Manakala ujian 3DMark untuk Time Spy dan Night Raid yang direkodkan sebagai terbaik adalah 1280-1606/12013-16728. Komputer riba ini menerima skor 1019/10032 yang direkodkan sebagai bagus.

Ujian untuk SSD pula dilihat menerima 3476.67MB/s untuk baca paling tinggi dan 2925.21 MB/s untuk tulis. Saya pernah menerima skor yang lebih baik, tetapi ini pun sudah cukup bagus. Semasa memindahkan data seperti fail ISO Windows 11 (tertiris) untuk tujuan tangkapan layar pada artikel sebelum ini yang bersaiz melebihi 4GB ke pemacu USB saya, tiada masalah pun dalam proses pindahan dan hanya mengambil masa yang cukup pantas.

Kamera Web

Kamera web pada kebanyakan komputer riba Huawei ada baiknya, iaitu melindungi privasi pengguna. Huawei menyembunyikan kamera web mereka pada kekunci di barisan kekunci fungsi dengan ikon kamera. Ia adalah mekanisme pop-naik manual, yang perlu ditekan untuk diakses. Kamera ini sentiasa aktif, kerana apabila membuka aplikasi kamera atau telesidang, imej gelap akan dipaparkan. Ia tidak dimatikan seperti beberapa komputer riba lain, yang terus mematikan sehingga mengeluarkan amaran kamera tidak dapat ditemui dan sebagainya.

Tetapi ia hanyalah sensor 1MP dengan resolusi 720p. Kameranya tidak berkualiti dan hanya ala kadar sahaja. Untuk sepanjang bekerja dari rumah, apabila cuba menggunakan kamera web ini ia penuh dengan hingar, tidak jelas dan tidak terang. Berani saya katakan, ia seakan kualiti 3GP sahaja. Malah untuk sesi telesidang, saya terpaksa menggunakan aplikasi EpocCam daripada Elgato atau terus menggunakan iPad sahaja.

Audio

Untuk pembesar suara, ia cukup kuat dan baik. Audio boleh didengari dengan cukup jelas ketika telesidang atau menonton video. Ia adalah pembesar suara dalam kategori cukup sedap untuk komputer riba dalam kelas ini. Tetapi ia masih belum boleh menandingi pembesar suara MacBook Air. MacBook Air M1 dengan tetapan memori 16/512 GB dijual pada harga lebih murah daripada MateBook X Pro 2021.

Kualiti mikrofon juga biasa sahaja, walaupun Huawei mempromosikan kualiti mikrofon mereka bagus yang kononnya boleh menangkap audio sehingga 5 meter jauh. Yang dekat pun tidak berkualiti, apatah lagi jika lebih jauh? Jadi, saya memerlukan aksesori mikrofon lain untuk menjadikan hasil suara saya lebih jelas dan enak didengari.

Bateri

Seperti sebelum ini, Huawei menggunakan pengecasan pantas 65W berasaskan Power Delivery. Jadi pengecasan benar-benar pantas. Sekitar 1 jam pengecasan, saya boleh gunakan sepanjang hari untuk tugasan ringan. Dakwaan Huawei adalah 30 minit pengecasan untuk 4 jam penggunaan boleh saya katakan ianya benar. Jika saya caj pada waktu malam dan pada awal pagi saya mulakan dengan bateri 100%, ia boleh bertahan sehingga lewat petang dengan baki bateri 5%.

Apa yang saya gemar dengan pengecas 65W yang Huawei sediakan adalah ia jenis adaptif. Jika saya cas peranti yang menyokong 18W, 30W dan sebagainya – pengecas akan mengecas peranti saya mengikut kuasa yang disokong dan tidak akan ada masalah overcharge.

Sekuriti dan Ekosistem

Huawei turut mengekalkan penggunaan butang kuasa yang juga merangkap sebagai pengimbas cap jari Windows Hello untuk tujuan menyahkunci peranti, pengesahan pembayaran jika ditetapkan pada Microsoft Edge dan lain-lain lagi. Ia adalah pantas, dan saya rasakan ia masih lagi sama seperti sebelum ini. Cuma jika kawasan butang kuasa ini kotor dengan minyak daripada tangan, atau jari berpeluh dan sebagainya ia akan ada masalah yang sama dengan pad sesentuh – iaitu tidak sensitif dan sukar untuk digunakan.

Kita semua tahu, antara sebab kenapa produk-produk Apple menjadi kegilaan ramai adalah ekosistem mereka. Semua peranti boleh berinteraksi antara satu sama lain. Huawei juga mempunyai ekosistem ini, seperti telefon pintar boleh mengawal televisyen mereka, Huawei FreeBuds menyokong tambatan pantas daripada telefon ke tablet ke komputer riba dan lain-lain lagi. Meneruskan lagi Huawei Share mereka dengan hanya tap peranti Huawei pada pad sesentuh melalui NFC, telefon akan bersambung dengan komputer riba. Melaluinya, fail mudah dipindahkan, aplikasi telefon boleh dijalankan pada komputer riba, dan lain-lain lagi.

Kesimpulan

Huawei MateBook X Pro 2021 sekali lagi berjaya memikat hati saya. Saya gemar menggunakan komputer riba ini walaupun masih ada beberapa kekurangan, tetapi semua itu ada jalan penyelesaian dengan menggunakan kaedah alternatif. Skrin yang baik, rekaan yang premium, prestasi yang pantas, bateri yang tahan lama, papan kekunci yang boleh diterima dan cubaan menawarkan pad sesentuh yang sedikit unik.

Saya pada awalnya mengharapkan menerima variasi Intel Core i7, agar boleh dibandingkan secara terus dengan model tahun lepas yang saya ulas. Tetapi dengan adanya Intel Iris Xe, Intel Core i5 sudah memadai untuk kerja-kerja saya.

Cuma, harga jualan RM6899 menimbulkan persoalan adakah ia berbaloi dan untuk siapakah komputer riba ini? Semasa artikel ini ditulis, saya menemui empat lagi pilihan komputer riba dengan spesifikasi yang lebih kurang sama pada harga bermula RM3899 – iaitu Huawei MateBook D 15 2021. Tiga lagi pilihan lain adalah Dell Latitude L3520, pada harga RM4039, HP EliteBook 830 pada harga RM5199 dan Huawei MateBook 14 pada harga RM4899. HP dilihat lebih menarik kerana skrin boleh dilipat untuk digunakan sebagai tablet, secara tidak langsung memanfaatkan skrin sesentuh. Manakala Huawei MateBook 14 dan MateBook D 15 dengan binaan yang sedikit lebih “ekonomi”, Dell juga begitu.

Ia berbalik kepada diri masing-masing, apakah yang anda cari pada sesebuah komputer riba dan adakah tugasan yang anda ingin lakukan itu memadai dengan spesifikasi pada setiap komputer riba lain ini. Adakah anda pentingkan gaya? Adakah anda pentingkan binaan premium dan adakah tanda harga yang menghampiri RM7k ini sanggup anda keluarkan? Jika ya, MateBook X Pro 2021 adalah untuk anda. Jika anda hanya inginkan prestasi dan tidak kisah pada paras rupa MateBook D 15 yang turut tiba di Makmal Amanz sudah memadai, kerana anda akan jimat RM3k.

PRO
  • Skrin yang cukup baik sama seperti sebelum ini.
  • Binaan yang premium dan mempunyai warna yang cantik.
  • Prestasi yang pantas, memuaskan dan boleh mengendalikan pelbagai tugasan.
  • Pad sesentuh yang serba baharu yang boleh dikustomasi oleh pengguna.
  • Ketahanan bateri berpanjangan dengan pengecasan pantas.
  • Pembesar suara yang cukup kuat dan enak dalam kelasnya.
  • Papan kekunci dengan travel yang memuaskan.
KONTRA
  • Kamera web dengan kualiti 3GP dan tidak boleh laras sudutnya, mikrofon juga tidak berkualiti.
  • Bunyi kipas terlampau bising dan menjengkelkan jika tugasan berat mula dilakukan.
  • Harga yang agak mahal, untuk komputer Windows yang tidak boleh dinaiktaraf.
Komen