Dizo yang merupakan penjenamaan baru Realme telah menjadualkan acara pelancaran produk pada minggu hadapan, iaitu 1 Julai 2021. Perkara ini dikongsi sendiri oleh pihak Dizo menerusi ciapan terkini di Twitter. Tapi sayangnya, mereka nampaknya masih cuba untuk berteka-teki mengenai produk yang bakal dilancarkan kelak.
Meskipun begitu, beberapa produk di bawah penjenamaan Dizo telah ditemui menerusi laman Shopee beberapa negara termasuklah Malaysia sendiri. Antara produk yang tersenarai adalah seperti Dizo Watch, Dizo GoPods Dan Dizo GoPods D yang boleh dibeli pada harga bermula RM89. Kesemua produk ini juga dipercayai hanyalah penjenamaan semula kepada beberapa produk Realme sedia ada dengan perubahan luaran yang kecil.
Walau bagaimanapun, siapa sangka mungkin Dizo mempunyai perancangan lain untuk pengenalan produk baru ketika acara pelancaran pada minggu hadapan? Sama-sama kita nantikan. Sekadar selingan, Dizo adalah jenama yang memfokuskan kepada penyelesaian inovatif untuk rangkaian produk AIoT. Ianya akan memberi tumpuan kepada beberapa beberapa kategori produk utama – seperti hiburan pintar, rumah pintar dan penjagaan serta aksesori pintar.
Sumber : Dizo India