Cari @ Amanz

Peminat jenama OnePlus mula rasa gembira apabila OnePlus menawarkan pelbagai pilihan peranti kelas pertengahan. Baik yang premium seperti Nord, atau juga yang asas seperti Nord N10 5G dan N100. Dengan penawaran seperti ini, seorang pengguna OnePlus itu boleh melengkapkan satu keluarga dengan peranti OnePlus yang bersesuaian dengan diri masing-masing.

Tetapi untuk OnePlus Nord N10 5G dan N100, OnePlus hanya menawarkan kemaskini satu tahun sahaja. Bagi N10 dan N100, walaupun sudah lapan bulan di pasaran, ia masih lagi menjalankan Android 10 dan kelak pada bulan September iaitu genap usia satu tahun dan kemaskini untuk peranti ini sudah sampai tamat tempoh. Untuk pengganti N100 yang baru sahaja dilancarkan, iaitu N200 5G9to5Google menyatakan yang peranti ini akan menerima kemaskini sehingga tiga tahun.

Tetapi tiga tahun itu adalah untuk kemaskini tampalan sekuriti sahaja. Untuk kemaskini utama sistem operasi, ia hanya akan disokong untuk satu tahun. N200 5G akan dilancarkan dengan Android 11 dan Android 12 adalah versi terakhir. Peranti ini hadir dengan skrin bersaiz 6.49-inci FHD+ dengan kadar segar semula 90Hz. Di samping itu, ia juga dipadankan dengan cip Snapdragon 480, sistem tri-kamera dengan sensor utama 13-Megapixel, kamera swafoto sebesar 16-Megapixel. Untuk bateri, ia hadir dengan kapasiti 5000mAh dan menyokong pengecasan 18W.

Di Amerika Syarikat, peranti ini dijual pada harga sekitar RM988. Buat masa ini masih tidak pasti jika peranti ini akan dijual di Malaysia atau pun tidak. Sama-sama kita nantikan.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd