Carian
Huawei Watch 3 Dan Watch 3 Pro Dengan HarmonyOS Berharga Bermula RM1699 Di Malaysia
June 24, 2021 Amy Maizuraa

Terdahulu, Huawei Watch 3 dan Watch 3 Pro telah diperkenalkan di China dan ia merupakan jam tangan pintar pertama yang menggunakan versi terkini HarmonyOS. Kini, kedua-dua jam tangan pintar tersebut mula ditawarkan buat pengguna di Malaysia pula. Bagi yang berminat, Huawei Watch 3 dijual pada harga RM1699. Manakala, Huawei Watch 3 Pro pula berharga RM2,199.

Sesi pra-tempahan akan dibuka bermula 25 Jun sehingga 6 Julai 2021. Menariknya, setiap pembelian akan disertakan dengan hadiah menarik percuma bernilai RM548 untuk Huawei Watch 3. Sementara itu, pembelian Huawei Watch 3 Pro pula didatangkan dengan hadiah sehingga RM828. Ia boleh didapati menerusi sejumlah platform berbeza – termasuk Huawei Online Store, Shopee, Lazada dan Senheng.

Untuk spesifikasi khusus, Huawei Watch 3 hadir dengan keseluruhan tubuh yang diperbuat daripada aluminium gred industri aeronautik. Kemudian, ia juga dipadankan dengan tali berasaskan Fluoroelastomer. Sementara itu, Huawei Watch 3 Pro pula dilengkapi tubuh daripada titanium dan panel kaca nilam yang lebih premium. Seterusnya, tali jam titanium dan kulit turut ditawarkan bagi membuatkannya kelihatan lebih bergaya.

Dengan bateri 450mAh, Huawei Watch 3 boleh bertahan sehingga 3 hari dalam mod pintar sepenuhnya dan sehingga 14 hari dalam mod jam tangan biasa. Kemudian, bateri 790mAh pada Huawei Watch 3 Pro pula membolehkannya beroperasi sehingga 5 hari dalam mod pintar dan sehingga 21 hari dalam mod jam tangan biasa.

Lain-lain spesifikasi pula adalah sama sahaja. Di mana, kedua-duanya mempunyai skrin bersaiz 1.43-inci AMOLED berbentuk bulat dan butang kawalan berputar pada bahagian sisi. Selain itu, kedua-duanya turut dimuatkan memori sebesar 2GB RAM, selain storan dalaman 16GB ROM. Ianya turut hadir dengan ciri-ciri standard seperti pengimbas nadi, SPo2, GPS, menjawab panggilan telefon, pemain muzik, mengesan jatuh dan lain-lain. Dengan sokongan eSIM, Huawei Watch 3 turut boleh berfungsi secara kendiri tanpa memerlukan telefon pintar.

Komen