Lenovo Memperkenalkan Siri Komputer Riba ThinkPad L13 Yang Dikuasakan APU AMD Ryzen 5000

Diterbitkan pada Jun 24, 2021. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Selain daripada komputer riba Lenovo ThinkPad X1 Extreme gen 4 yang hadir dengan komponen dalaman yang sangat berkuasa, Lenovo turut memperkenalkan siri komputer riba ThinkPad L13 yang termasuklah komputer riba ThinkPad L13 gen 2 dan juga ThinkPad Yoga L13 gen 2 yang mana kedua-duanya hadir dengan penawaran CPU keluaran AMD.

Kedua-dua komputer riba ini dilengkapi paparan skrin bersaiz 13.3 inci pada resolusi Full HD dengan nilai kecerahan 300 nit yang cukup berguna tidak kira anda menggunakannya untuk tujuan produktiviti ataupun riadah.

Dari segi komponen dalaman, kedua-dua ThinkPad L13 dan ThinkPad Yoga L13 ini dikuasakan oleh siri CPU AMD Ryzen 5000, yang mana ini adalah model ThinkPad Yoga pertama yang dikuasakan pilihan CPU AMD. Kedua-dua komputer riba ini juga dilengkapi pilihan memori sehingga 16GB dan storan SSD dalaman sebesar 1TB. Dari segi pilihan grafik pula, ia dilengkapi GPU AMD Radeon yang terbina didalam APU AMD Ryzen ini yang cukup berkuasa untuk menggerakkan sejumlah permainan pada resolusi 720p dan 1080p.

Untuk pengguna korporat, siri komputer riba ThinkPad L13 ini hadir dengan sejumlah pilihan tambahan seperti penggunaan kamera inframerah, dok tambahan untuk palam input tambahan dan sokongan Windows Hello seperti pengimbasan wajah dan juga cap jari.

Kedua-dua komputer riba ini juga dilengkapi dengan bateri 46Wh yang menjanjikan penggunaan sehingga 10.8 jam sehari dengan pengecasan penuh. Untuk Lenovo ThinkPad Yoga L13, komputer riba ini juga hadir dengan penawaran pena stylus yang boleh dimanfaatkan untuk penggunaan profesional seharian jika diingini.

Untuk pasaran antarabangsa, Lenovo ThinkPad L13 dan Lenovo ThinkPad Yoga L13 ini akan tiba pada bulan Ogos kelak pada harga €649 dan €749. Lenovo Malaysia pula berkata bahawa tarikh pelancaran untuk pasaran Malaysia akan diumumkan di masa hadapan kelak.

Komen sekarang

komen

© Amanz / 2021 Kami