Cari @ Amanz

Microsoft hari ini telah memperkenalkan sistem operasi generasi baharu mereka secara rasminya, dinamakan Windows 11.

Windows 11 membawakan sejumlah perkara baharu, termasuk antaramuka baharu, rekaan menu Start yang diberikan nafas baharu, kemudahan carian, dan sejumlah kemaskini pada rekaan.

Windows 11 juga dilihat menawarkan prestasi operasi yang lebih lancar berbanding dengan Windows 11 sebelum ini. Microsoft mengatakan kini lebih lancar dan laju berbanding sebelum ini. Kemaskini Windows juga bersaiz 40% lebih rendah, selain menggunakan tenaga yang lebih rendah, dan membawakan sekuriti yang paling selamat.

Rekaan memfokuskan kepada bahagian tengah juga menjadikan pengguna kini lebih produktif dan mudah menemui pelbagai perkara berbanding sebelum ini. Microsoft juga mengatakan Windows 11 mengekalkan apa yang sedia dikenali ramai – iaitu multi-tugasan dan membuka dan mengakses pelbagai aplikasi dan perisian pada waktu serentak.

Ciri Desktop berbeza juga disediakan pada Windows 11 – dalam membolehkan anda menguruskan perkara yang sedang anda lakukan pada komputer. Windows 11 membolehkan anda menetapkan latar berbeza untuk setiap Desktop – sama ada satu untuk tugasan pejabat, satu untuk penggunaan di rumah, satu untuk permainan, dan sebagainya.

Windows 11 juga mengintegrasikan kemudahan untuk berkomunikasi dengan yang lain – dan Microsoft menyertakan sokongan Microsoft Teams secara terbina padanya.

Melengkapkan penawaran Windows 11 juga adalah Windows Widget yang membolehkan anda menyertakan ia pada bahagian tepi – dan mengakses sejumlah kandungan dengan pantas melaluinya. Microsoft mengatakan ia dilengkapi sokongan kecerdasan buatan dalam memaparkan kandungan yang baik untuk pengguna.

Disamping itu, Windows 11 juga direkabentuk untuk penggunaan mesra skrin sentuh, dan boleh dioptimasikan untuk digunakan tanpa papan kekunci. Microsoft turut menyertakan sokongan arahan suara pada Windows 11, selain membolehkan pengguna menaip menggunakan suara.

Menariknya juga, Microsoft mengatakan Windows 11 kini lebih terbuka – membolehkan pembangun mengintegrasikan sejumlah ciri-ciri dagang terus, dan Microsoft tidak akan mengambil sebarang potongan – berbeza dengan sistem atau platform lain.

Membuat kejutan juga, Microsoft mengatakan Windows 11 akan menyokong pengguna menjalankan aplikasi Android melaluinya secara terbina. Untuk tujuan berkenaan, Microsoft mengatakan pengguna boleh memasang aplikasi melalui Amazon AppStore.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd